Thursday, December 20, 2018

Makanan Sihat | Makanan yang Tidak Bergoreng dan Tanpa Santan

Assalamualaikum semua.

Hampir setiap hari rasanya kita makan makanan yang mengandungi lemak seperti makanan bergoreng dan hidangan yang berasaskan santan. Makanan yang sering diambil oleh rakyat Malaysia ketika bersarapan adalah seperti nasi lemak, roti canai dan nasi goreng atau mi goreng. Mi goreng dan nasi goreng juga termasuk dalam lima makanan paling kerap dimakan semasa makan tengah hari dan makan malam (Kajian Barometer Makanan Malaysia, 2014).

Lemak boleh didapati samada dalam bentuk yang boleh dilihat atau tidak dapat dilihat, contohnya minyak yang kita tambah ketika menyediakan makanan dan semasa proses memasak; manakala lemak yang tidak dapat dilihat, ialah lemak yang diguna sebagai ramuan di dalam hidangan. Contoh lain lemak yang boleh dilihat di dalam makanan ialah santan, mentega dan marjerin.

Contoh makanan yang tinggi kandungan lemak ialah makanan bergoreng, makanan berasaskan santan seperti kari, konfeksi berinti krim, keju tinggi lemak dan sos salad. Pengambilan makanan berlemak dan minyak secara berlebihan berserta dengan aktiviti fizikal yang tidak aktif boleh menyebabkan obesiti. Pengambilan lemak secara berlebihan setiap hari juga boleh meningkatkan paras kolesterol dan seterusnya meningkatkan risiko penyakit jantung.

Cara untuk meningkatkan pengambilan makanan tidak bergoreng:
  • Gunakan cara memasak yang lebih sihat seperti memanggang, membakar dan mengukus.
  • Pilih hidangan yang lebih sihat, seperti ikan kukus, bakar dan panggang.
  • Hadkan makanan bergoreng (contohnya ikan goreng dan kuih bergoreng seperti karipap dan pisang goreng) kepada tidak lebih daripada sekali sehari.
  • Nikmati hidangan yang dimasak di rumah yang mana anda boleh mengawal penggunaan minyak dan boleh menyediakan hidangan yang lebih sihat dan berkhasiat di rumah.
Cara untuk meningkatkan pengambilan makanan tanpa santan:
  • Pilih cara memasak yang lebih sihat seperti sup dan tom yam.
  • Hadkan pengambilan makanan yang tinggi dengan santan seperti nasi lemak, nasi dagang, masak lemak, kari, rendang, bubur kacang, kuih talam dan kuih seri muka.
  • Tambah rempah ratus dan herba ke dalam hidangan yang kurang santan untuk menambah rasa dan perisa.
  • Gantikan kesemua atau separuh santan dengan susu rendah lemak, susu skim, susu sejat dan yogurt.
  • Gantikan santan pekat dengan santan cair.

Berikut adalah sedikit panduan bagaimana menyediakan makanan yang sihat di rumah dan panduan bagaimana memilih hidangan lebih sihat apabila makan di luar. Semoga info ini bermanfaat buat semua. Lepas ni tahan sikitlah nafsu makan dan mari menuju ke arah makanan sihat. Pesanan untuk diri sendiri juga.





Monday, December 17, 2018

Saranan Umum Senaman Bagi Pesakit Diabetes

Assalamualaikum semua.

Melihat kepada tabiat pemakanan dan amalan kehidupan seharian atau gaya hidup masyarakat di Malaysia ini, boleh dikatakan ramai di antara kita ini merupakan penghidap penyakit Diabetes. Antara faktor risiko yang menyebabkan kita mudah untuk mendapat penyakit Diabetes ini ialah keturunan, pemakanan atau diet serta amalan gaya hidup kita. Mencegah lebih baik dari merawat. Namun tidak semua perkara kita boleh elak. Bagi seseorang yang telah menghidap penyakit Diabetes, anda disarankan supaya mengamalkan senaman-senaman seperti di bawah bagi membantu mengekalkan kadar gula yang optimum.

Saranan Umum Senaman Bagi Pesakit Diabetes:
  1. Lakukan aktiviti fizikal 5 kali seminggu dan pastikan tempoh aktiviti tanpa senaman tidak melebihi 2 hari berturut-turut.
  2. Lakukan senaman rintangan untuk kekuatan dan daya tahan otot 2-3 kali seminggu (tidak dilakukan secara 2 hari berturut-turut).
  3. Senaman aerobik (berjalan laju, jogging, berbasikal dan lain-lain) dan senaman rintangan (resistance exercise) sangat bermanfaat untuk pesakit Diabetes.
  4. Individu yang berlebihan berat badan atau 'obese' disarankan secara beransur-ansur untuk meningkatkan tempoh melakukan aktiviti fizikal sehingga 60-90 minit setiap hari bagi pengurangan berat badan.
  5. Lakukan aktiviti fizikal yang berintensiti sederhana sekurang-kurangnya 150 minit seminggu atau aktiviti fizikal yang berintensiti tinggi selama 90 minit seminggu.
Saranan Umum Senaman Bagi Pesakit Diabetes

Dengan melakukan senaman-senaman seperti yang disarankan di atas ini, pesakit Diabetes juga akan sentiasa lebih bersemangat dan akan berasa lebih cergas dalam menjalani kehidupan seharian, di samping dapat membantu mereka mengurangkan berat badan yang berlebihan atau 'obese'. Lazimnya, pesakit Diabetes ini mempunyai berat badan yang berlebihan atau 'obese' dan dinasihatkan supaya mengurangkan berat badan beransur-ansur bagi membantu mencapai kadar gula yang optimum.

Setiap kali follow-up, doktor akan memantau dan memberi nasihat atau panduan mengenai berat badan yang perlu dicapai oleh setiap pesakit Diabetes mengikut tempoh waktu yang ditetapkan. Untuk memastikan tahap kesihatan meningkat, pesakit perlu berusaha untuk mengurangkan berat badan dengan melakukan senaman-senaman tersebut. Aktiviti seperti zumba atau senam aerobik juga dapat membantu untuk mengurangkan berat badan.

Aku Manusia - Winter Words & Warm Memories


Dalam jasad yang hina,
ada hati yang berdosa,
andai kamu anggap yang baik sahaja,
kamu silap semahunya,

Aku ialah manusia,

Dalam dakapan berganda,
selalunya tertumpah warna,
warna hitam ketawa,
juga lesu binasa,

Aku itu manusia,
sungguh terbelah tak berdaya,
masih tak sedar malam hitam bercahaya,
seakan dosa itu bergelora,
tak mungkin menanggung bahagia,

Aku masih manusia,

Membunuh palsu segala,
terhenti kaku sebuah bicara,
sentiasa bukan si mulia,
namun ingin pahala bertakhta,

Aku sentiasa manusia,

Nafsu porak peranda,
hati juga gundah gulana,
jasad semakin tua,
hidup ini semakin lama,

Aku tetap manusia,

Akan kerana satu dosa,
jangan dihina,
bila berlabuh sebuah senja,
tanganku mula di dada,

Kerna akulah manusia,
yang terkapai mahu merasa,
Sebuah kasih Tuhan-NYA.

-Aku Manusia | Winter Words & Warm Memories

Sunday, December 16, 2018

Postur Badan dan Pergerakan yang Betul Ketika Berjalan

Assalamualaikum semua.

Bagaimanakah pergerakan dan postur badan kita semasa berjalan? Jom tengok tips berjalan yang betul.

 Postur Badan dan Pergerakan yang Betul Ketika Berjalan | Tips Berjalan dengan Betul


Tegakkan postur badan
Pastikan bahagian tumit mencecah tanah sebelum bahagian tapak kaki yang lain. Mulakan dengan langkah yang pendek.

Hayunkan tangan
Membantu membakar lebih banyak kalori dan menguatkan otot di bahagian atas badan.

Luruskan bahagian belakang badan
Pastikan badan berada dalam postur yang baik. Luruskan badan dan pandang ke hadapan.

Kawal pernafasan
Pastikan pernafasan sentiasa teratur. Sekiranya semakin tercungap-cungap, kurangkan kelajuan. Berhenti sekiranya tidak mampu.

Variasikan tempo berjalan
Tetapkan sasaran pada tempoh tertentu untuk meningkatkan dan menurunkan kelajuan.

Sumber: www.infosihat.gov.my

7 Cara Mudah Mencipta "Keseronokan" Dalam Berjalan

Assalamualaikum semua.

Pada 3 November 2018 yang lalu telah diadakan pelancaran Kempen WALK di Oval Lawn , Setia City Convention Centre, Setia Alam anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia. Kempen ini diadakan bertujuan selaras dengan saranan kita sebagai rakyat Malaysia agar kekal sihat dan aktif. Aktiviti fizikal tidak hanya tertumpu kepada senaman sahaja malah segala aktiviti seharian yang melibatkan pergerakan tubuh badan juga dikategorikan sebagai aktiviti fizikal. Berjalan juga merupakan salah satu aktiviti fizikal yang sihat untuk dilakukan ke arah gaya hidup aktif. Jadi kalau rasa tak mampu untuk membuat senaman berat, berjalan juga sudah cukup asalkan kita bergerak.


7 Cara Mudah Mencipta "Keseronokan" Dalam Berjalan:

1.Dengar Muzik
Ia membantu anda berjalan lebih lama dan pantas.

2.Beri Ganjaran
Tetapkan ganjaran seperti makan malam bersama rakan atau beli baju baru bagi setiap matlamat yang tercapai.

3.Jaga Kebersihan Persekitaran
Berjalan sambil mengutip sampah boleh membantu persekitaran kekal bersih.

4.Sediakan Catatan
Tulis atau catat rekod berjalan untuk simpanan sendiri supaya lebih bersemangat dan seronok apabila melihat berapa jauh anda sudah berjalan.

5.Nikmati Alam Semulajadi
Belajar untuk menjadikan berjalan sebagai waktu untuk anda bertafakur sambil menikmati alam semulajadi.

6.Dengar Podcast
Mendengar rakaman audio atau video secara online seperti ceramah atau berita untuk memenuhi masa berjalan.

7.Berjalan Bersama Rakan
Ia merupakan masa yang terbaik untuk berjumpa dan bertanya khabar sesama rakan sambil berjalan-jalan.

Semoga lepas ini kita lebih bersemangat dan rasa seronok untuk berjalan atau bergerak sambil buat 7 benda di atas. Siapa ada tips lain yang boleh dikongsikan bagitahulah ya di ruangan comment. Semoga bermanfaat!

Sumber: Centers for Disease Control and Prevention (CDC)

Saturday, December 15, 2018

Faedah Melakukan Aktiviti Fizikal Secara Konsisten | Jom Aktif dan Sihat!

Assalamualaikum semua.

Sebenarnya memang banyak sangat faedah yang akan kita dapat jika kita melakukan senaman atau apa-apa sahaja aktiviti fizikal secara konsisten. Antara faedah tersebut ialah badan kita akan sentiasa berasa cergas dan aktif, kesihatan kita lebih terjamin serta kita juga akan terhindar dari segala jenis penyakit berbahaya seperti Diabetes, hypertension, stroke dan sebagainya. Apa lagi. Marilah mengorak langkah. Jom Aktif dan Sihat!

National Strategic Plan for Active Living 2017-2025 (NASPAL)

Plan Strategik Kebangsaan Hidup Aktif 2017-2025
-National Strategic Plan for Active Living 2017-2025 (NASPAL)-

Visi:
Ke arah Malaysia yang aktif dan sihat

Misi:
Meningkatkan aktiviti fizikal dalam kalangan rakyat Malaysia

Sasaran:
Mengurangkan sebanyak 10% prevalen ketidakaktifan fizikal / tidak aktif secara fizikal dalam kalangan masyarakat menjelang 2025

Faedah Melakukan Aktiviti Fizikal Secara Konsisten:
1. Mengurangkan risiko kematian awal.
2. Mengurangkan risiko penyakit jantung koronari.
3. Mengurangkan risiko stroke.
4. Mengurangkan risiko hypertension.
5. Mengurangkan risiko kolestrol tinggi.
6. Mengurangkan risiko diabetes.
7. Mengurangkan risiko metabolic syndrome (gabungan penyakit hypertension, diabetes dan kolestrol tinggi)
8. Mengurangkan risiko kanser kolon.
9. Mengurangkan risiko berat badan berlebihan atau 'obese'.
10. Menurunkan berat badan.
11. Meningkatkan kecergasan kardiorespiratori dan otot.
12. Mengurangkan risiko jatuh terutama warga emas.
13. Mengurangkan kemurungan (depression).
14. Meningkatkan kadar kesihatan optimum bagi warga emas.
15. Mengurangkan risiko 'abdominal obesity'.
16. Mengekalkan berat badan ideal.
17. Meningkatkan fungsi kognitif dan daya ingatan bagi warga emas.
18. Mengurangkan risiko 'hip fracture'.
19. Mengurangkan risiko kanser paru-paru.
20. Mengurangkan risiko kanser endometrial.
21. Meningkatkan ketumpatan tulang di samping mengurangkan risiko osteoporosis.
22. Meningkatkan kualiti tidur.



Contoh aktiviti senaman aerobik:
  • Berjalan pantas
  • Berbasikal
  • Menari
  • Berenang
  • Berlari
  • Bermain bola sepak, takraw, badminton dan lain-lain
Contoh aktiviti senaman anaerobik:
  • Semua jenis pecutan (berlari, berbasikal)
  • Angkat berat
  • Lompat Tali
  • Mendaki bukit (hiking)
  • Latihan interval, isometrik atau senaman lain pada tahap intensiti tinggi dalam masa singkat

Senafas Hidup - Winter Words & Warm Memories

Senafas Hidup | Winter Words & Warm Memories

Kisah kelmarin,
Masih menjadi tanda tanya,
Dan hari ini,
Cerita itu tetap sama,
Masih belum menemukan,
Setiap jawapannya.

Lalu dia,
Matikan semua perasaan,
Agar jiwanya kembali,
Jalani kehidupan.

Senafas Hidup - Winter Words & Warm Memories

Friday, December 7, 2018

Terima Kasih - Winter Words & Warm Memories


Di sepanjang perjalanan ini,
kita akan bertemu,
sama orang orang santun,
yang bisa menerima kita,
dengan apa adanya.

Tidak mencarik,
masa masa lalu kita,
bahkan menarik kita,
bersama menuju lorong cahaya.

Tidak menolak kita,
saat ketemukan sisi kurangnya kita,
malah gigih sekali,
menampal luka lukanya.

Terima kasih teman,
karena mencintai aku,
meski sudah tahu apa lebih,
dan juga kurang.

Jangan lepas tangan ini,
sehingga kaki kita menjejak,
ke syurga Illahi.

"Terima kasih,
Pada manusia manusia,
Yang terus mencintai,
Diri ini."
 Terima Kasih - Winter Words & Warm Memories 

Sunday, November 18, 2018

Rumah Penginapan - Love Like Rumi


Wujud manusia adalah rumah penginapan
Setiap pagi, tamu baru
Kegembiraan, kesesakan, kekejaman
Kadang kesedaran-kesedaran sesaat tiba
Sebagai tamu kejutan.

Sambut dan jamu semua
Bahkan jika itu tumpukan kesedihan
Yang ganas sapu semua perkakas rumahmu
Boleh jadi ia bersihkan dirimu
Demi pesona baru.

Kesesakan, rasa malu, kelicikan
Berlawan di pintu dengan ketawa
Ajak masuk
Syukuri apa aja yang datang
Kerana semua diutus
Sebagai pandu dari sana.

Jika direnungkan dan diambil hikmahNya, kesulitan juga mematangkan dan memberi pencerahan. Kesederhanaan itu sebaik-baiknya.
Rumah Penginapan - Love Like Rumi

Friday, November 16, 2018

Kenali Apa Itu Penyakit Bipolar | Bipolar Disorder

Assalamualaikum semua.

Salam Jumaat penghulu segala hari! Siapa dekat sini yang senang sangat nak bertukar mood dia? Kejap rasa stress, sedih, kejap rasa gembira sangat tak terkata. Kadang-kadang rasa macam, eh aku ni sakit ke? Apa kena dengan aku ni? Ada tak macam tu? Ok semua. Pernah dengar penyakit Bipolar atau 'Bipolar Disorder'? Marilah kita kenali apa itu penyakit Bipolar atau 'Bipolar Disorder'.

Apakah Penyakit Bipolar atau 'Bipolar Disorder'?

Ianya adalah satu penyakit mental yang melibatkan perubahan emosi  atau mood yang melampau. Pada masa tertentu individu berada pada kutub tertentu, pada masa lain berada pada kutub bertentangan. Individu boleh berada pada suatu kutub iaitu episod manik/hipomanik atau kutub bertentangan iaitu episod kemurungan. Apabila diserang penyakit ini, fungsi akan terjejas, tidak dapat mengawal diri, pekerjaan merosot, hubungan sosial terganggu.

Episod Manik
Mengalami (selama 7 hari/lebih) :
-Mood/emosi melampau, mudah marah, resah
-Peningkatan self-esteem
-Bercakap banyak dari biasa
-Tidur yang singkat < 3jam
-Mempunyai banyak idea & aktiviti yang mahu dilakukan
-Fikiran mudah terganggu
-Melakukan aktiviti memudaratkan seperti seks rambang, melabur, membeli barang mahal 

Episod Hipomanik
Mengalami (selama 4 hari/lebih) :
-Sama seperti episod manik
-Tiada gangguan kepada fungsi individu/pekerjaan/hubungan sosial.

Episod Kemurungan (Depression)
Mengalami (selama lebih 2 minggu) :
-Perasaan sedih
-Tiada minat melakukan aktiviti seharian/aktiviti disukai
-Berat badan, selera makan berkurang/bertambah
-Susah tidur/tidur yang melampau
-Cepat letih/kurang bertenaga
-Rasa diri tidak berguna/rasa bersalah/tiada keyakinan diri
-Konsentrasi mudah terganggu
-Berfikir berulang kali untuk membunuh diri/cubaan bunuh diri

Bagaimanakah Merawat Penyakit Bipolar?
-Pesakit episod manik/kemurungan yang serius perlu dimasukkan ke hospital

-Rawatan Biologikal (Ubat-ubatan):
  1. Mood Stabilizer
  2. Anti-psychotic
  3. Anti-depressant
  4. Anti-anxiety
  5. Sleeping Pill
-Rawatan Psikososial:
  1. Berbincang cara penyelesaian masalah
  2. Berbincang cara menangani kemarahan
  3. Berbincang cara menangani stress
  4. Mendapat penjelasan tentang penyakit, rawatan dan komplikasi
Ok, jadi ini serba sedikit tentang penyakit Bipolar atau 'Bipolar Disorder'. Semoga bermanfaat buat semua.