Wednesday, November 9, 2022

Kebaikan Asam Jawa untuk Kesihatan dan Kecantikan


Nama lain bagi Asam Jawa:
Inggeris: sweet tamarind, tamarind

India: anbli, ambli, chinh, imalii, tamarulhindi

Cina: da ma lin, loa wang zi

Thailand: bakham somkham

Vietnam: me chua

Filipina: sempodok

Jepun: tamarindo

Laos: khaam, kok mak kham


Pokok asam jawa sebenarnya merupakan tumbuhan anugerah Tuhan yang mempunyai pelbagai kegunaan. Walaupun buahnya merupakan komponen utama yang penting untuk kesihatan kita, komponen lain juga sebenarnya tidak boleh diabaikan.

Banyak kajian menunjukkan bahawa penggunaan tumbuhan ini boleh dioptimumkan sebaik yang mungkin. Tumbuhan ini yang kaya dengan vitamin, antioksidan dan mineral adalah sangat bagus untuk kesihatan dan kecantikan individu. 


Antara kebaikan asam jawa untuk kesihatan dan kecantikan:
  • Membantu meningkatkan sistem imunisasi tubuh badan
  • Membantu menurunkan berat badan
  • Membantu mengurangkan pembengkakan
  • Membantu mengatasi masalah pencernaan
  • Mencerahkan kulit
  • Menghilangkan selulit
  • Mengelupaskan sel-sel kulit mati
  • Mengelakkan masalah rambut gugur
  • Mencegah penuaan

Kredit: hellodoktor

Saturday, November 5, 2022

Khasiat Dan Kebaikan Teh Kombucha

Teh kombucha boleh dijadikan minuman alternatif kepada minuman manis yang tidak berkhasiat. Teh kombucha ini adalah minuman berkhasiat, baik untuk kesihatan tubuh badan yang kaya dengan probiotik (bakteria baik) dan juga mengandungi Vitamin B.

Teh kombucha juga dikenali sebagai teh cendawan. Namun ianya bukanlah diperbuat daripada cendawan tetapi bakteria dan juga yeast yang terapung di atas minuman itu, yang menyerupai bentuk seperti cendawan.

Teh kombucha rasa sedikit bergas, masam seperti cuka serta berwarna coklat menyerupai teh. Kadang kala jus buah-buahan asli ditambah dengan teh kombucha untuk menjadikan rasanya lebih manis serta berperisa.


Khasiat dan kebaikan teh kombucha:
  • Meningkatkan tenaga
  • Membantu menurunkan berat badan
  • Membantu sistem penghadaman
  • Membantu meningkatkan sistem imun badan
  • Membantu menguatkan daya ingatan
  • Membantu detoksifikasi badan
  • Mengurangkan risiko penyakit kanser
  • Mengurangkan sakit sendi

Proses penapaian teh kombucha dilakukan selama 7 hingga 10 hari sebelum ianya boleh diminum. Semakin lama dibiarkan, semakin kurang rasa manis kerana bakteria telah memakan gula di dalam campuran teh tersebut.

Setelah siap proses penapaian, teh kombucha akan menjadi seperti bergas dan mempunyai rasa masam seperti cuka, kaya dengan Vitamin B, enzim, probiotik serta tinggi kandungan asid (asetik, glukonik dan laktik). Kemudian, teh kombucha dikeluarkan serta dicampur bersama jus buah-buahan asli maka terhasil pelbagai perisa teh kombucha seperti delima, limau, buah naga dan sebagainya.

Kredit: theAsianparent

Thursday, October 20, 2022

Kebaikan Minyak Argan untuk Kecantikan dan Kesihatan

Minyak argan adalah bahan semula jadi yang baik untuk kulit dan rambut, dipercayai mengandungi Vitamin E dan antioksidan, juga bermanfaat untuk kesihatan tubuh badan. Minyak argan berasal dari pokok argan yang tumbuh di wilayah kecil Morocco. Minyak argan selalu digunakan dalam masakan, produk kosmetik, serta ubat atau supplement makanan kesihatan semula jadi.

Kebaikan Minyak Argan untuk Kecantikan dan Kesihatan:

1.Melembapkan kulit

Kandungan Vitamin E dalam minyak argan dipercayai baik dan membantu membuat kulit sentiasa lembap dan segar. Oleh sebab itu, minyak argan selalu ditemui dalam produk kosmetik seperti losyen, sabun dan sebagainya.

Ia juga boleh membantu melembapkan kulit kepala dan membantu membuat rambut kelihatan lebih berkilau. 

2.Mencegah pertumbuhan jerawat

Pengeluaran sebum atau minyak berlebihan pada kulit menyebabkan pori-pori tersumbat dan ini mempercepat pertumbuhan jerawat. Minyak argan membantu mengurangkan pengeluaran sebum sekaligus mencegah pertumbuhan jerawat.

Kandungan antioksidan di dalam minyak argan juga membantu mengurangkan kemerahan atau radang pada kulit akibat jerawat.

3.Melambatkan proses penuaan

Minyak argan membantu melambatkan proses penuaan. Antioksidan dapat mengekalkan kelembapan kulit dan kesihatan kulit sentiasa terjaga sehingga tanda-tanda penuaan berkurang. 

4.Membantu menyembuhkan luka

Minyak argan boleh membantu mempercepat penyembuhan luka. Gabungan Vitamin E dan antioksidan yang terdapat dalam minyak argan mempercepat proses penyembuhan luka. 


5.Melindungi kulit dari kerosakan sinaran matahari

Kerosakan pada kulit akibat daripada sinaran matahari serta hyperpigmentasi dapat dicegah jika menggunakan minyak argan. Minyak argan dapat melindungi kulit kerana ianya mengandungi antioksidan yang banyak sekaligus mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit kanser kulit dan melanoma.

6.Membantu kesihatan jantung

Minyak argan dapat meningkatkan tahap kolestrol baik dalam badan dan mengurangkan tahap kolestrol jahat sekaligus mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit jantung.

7.Mengurangkan risiko penyakit Diabetes

Di samping tahap kolestrol, tahap gula dalam darah juga dapat dikurangkan dengan minyak argan. Minyak argan dapat mencegah peningkatan gula dalam darah sekaligus mengurangkan risiko penyakit Diabetes.

8.Mencegah penyakit kanser

Minyak argan dipercayai dapat mencegah dan memperlambat pertumbuhan sel-sel kanser kerana kandungan antioksidan di dalamnya yang tinggi.

Saturday, March 20, 2021

Dugaan atau Cabaran dalam Bertunang

Assalamualaikum semua.

Ramai di luar sana yang menghadapi ujian atau dugaan dalam tempoh bertunang. Kadang-kadang diuji dengan bermacam-macam hal. Orang kata dalam melayari alam pertunangan, kita kena kuat kerana masa itu nanti hati kita akan berbolak-balik ditambah dengan ujian atau dugaan yang mendatang. Hati kita ini memang dah sifatnya berbolak-balik jadi semasa dalam alam pertunangan kena banyak mohon pertolongan dari Allah untuk bukakan pintu hati dan tetapkan jalan serta pilihan kita.


Antara dugaan dalam tempoh bertunang ialah:

  1. Diuji dengan duit dan harta - Pastikan duit kahwin tidak digunakan untuk perkara yang tidak penting. Utamakanlah perkara yang penting dahulu.
  2. Diuji dengan sikap - Bila nak melayari alam perkahwinan, dalam membuat persiapan, semua orang akan rasa stress atau tertekan. Jadi pasti akan ada perubahan sikap secara tiba-tiba seperti selalu sensitif, panas baran dan kurang sabar. Fahamilah situasi ini dan jangan mudah melatah.
  3. Diuji dengan ragu-ragu - Tarikh kahwin dah semakin dekat tapi tiba-tiba kita rasa ragu-ragu dengan pilihan sendiri. Itu semua hanyalah hasutan syaitan yang tidak mahu kita mendirikan masjid. Jadi jangan terpedaya ya.
  4. Kehadiran kekasih lama - Kekasih lama atau ‘ex’ yang tiba-tiba muncul semula, jangan tergugat dengan mereka. Walaupun kita pernah berkasih sayang dengan mereka dan berkongsi cerita, namun mereka hanyalah pengalaman dan kisah memori yang lalu. Lupakanlah masa silam dan ‘move forward’.

Memang banyak ujian dan dugaan semasa tempoh bertunang. Ketika dalam alam percintaan, lain ceritanya. Dalam memasuki alam pertunangan, lain pula cabarannya. Seterusnya memasuki fasa perkahwinan, juga akan ada cerita turun naiknya. Apa-apa pun, kita kena banyak berdoa kepada Allah supaya tunjukkan jalan yang terbaik untuk kehidupan kita. Sebenarnya, Allah dah rancang dan susun yang terbaik untuk setiap kehidupan kita di dunia ini. Percayalah setiap apa jua perancanganNya itu pastinya yang terbaik untuk kita semua.

Ok semua. Ada kisah,  pengalaman atau cerita yang menarik yang korang nak kongsikan semasa dalam tempoh bertunang? Mana tahu boleh dijadikan pengajaran atau motivasi ke untuk mereka yang akan melangkah ke fasa ini. Bolehlah dikongsikan di ruangan comment seperti biasa ya. 

Friday, March 19, 2021

Sakit Tonsil atau 'Tonsilitis' | Perlu atau Tidak Antibiotik?

Assalamualaikum semua. 

Apa itu Tonsil?
Tonsil ialah gumpalan tisu limfoid yang terdapat di dalam rongga mulut dan tekak. Ia merupakan sebahagian daripada sistem pertahanan badan untuk melawan jangkitan kuman (mempunyai sel limfosit).

Jenis-jenis Tonsil?
  • Adenoid/Pharyngeal - Tonsil di belakang pangkal hidung
  • Lingual Tonsil - Tonsil di pangkal lidah
  • Palatine Tonsil - Tonsil di bahagian tengah mulut, yang selalu diperkatakan dan boleh dilihat 
Kesemua ini dikenali sebagai Lingkaran Waldeyer (Waldeyer’s Ring)

Apakah penyebab radang Tonsil atau Tonsilitis?
Secara umumnya, kebanyakan Tonsilitis disebabkan oleh jangkitan virus (Adenovirus, Herpes virus dan sebagainya). Oleh sebab inilah, tidak menjadi rutin pemberian antibiotik jika sakit tekak atau serangan Tonsilitis biasa.

Bilakah antibiotik perlu diberikan?
Jika Tonsilitis disebabkan oleh kuman bakteria (Group A Beta-Haemolytic Streptococcus).

Antara gejala atau simptomnya:
  • Demam > 38°C lebih daripada 3 hari
  • Tonsil bengkak, merah & bernanah
  • Kelenjar limfa di leher membengkak
  • Sakit apabila makan
  • Mulut berbau

Tonsilitis Perlu Antibiotik Atau Pembedahan, Tonsilitis, Tonsil, Tonsil Bengkak

Klasifikasi Tonsilitis?
  • Superficial Tonsilitis - merah pada permukaan Tonsil sahaja
  • Follicular Tonsilits - bintik-bintik kuning pada permukaan Tonsil dan Kripta
  • Parenchymatous Tonsilitis - seluruh Tonsil bernanah
  • Membranous Tonsilitis - lapisan membrane pada Tonsil

Indikasi Perlu Pembedahan Tonsil?

Indikasi Mutlak
  • Tonsilitis berulang > 7 kali dalam setahun atau > 5 kali dalam 2 tahun
  • Peritonsilar bernanah > 1 kali
  • Sekatan pada saluran pernafasan & proses menelan
  • Tonsil bengkak sebelah sahaja
  • Sawan panas disebabkan Tonsilitis
Indikasi Relatif 
  • Pembawa kuman "Difteria" - tidak sembuh dengan antibiotik
  • Demam Rheumatic dan Sindrom Nefrotik Akut
  • Nafas berbau disebabkan nanah Tonsil (Halitosis)
  • Sebahagian daripada pembedahan lain, palatofaringoplasty
  • "Eagle syndrome" - pemanjangan tulang styloid

Tonsilitis, Tonsil, Tonsil Bengkak, Bacterial Tonsilitis, Viral Tonsilitis

Kesimpulannya di sini, tidak semua jangkitan Tonsil memerlukan antibiotik dan tidak semua Tonsil yang bengkak perlu dibedah. Jikalau Tonsilitis disebabkan oleh virus memang tidak memerlukan antibiotik kerana antibiotik hanya untuk bakteria. Jadi perlu diingat, jangan marah-marah dekat doktor kalau mereka tak beri antibiotik nanti.

Apa-apa pun, harus dilihat pada setiap simptom serta indikasinya. Jangan lupa rujuk kepada doktor pakar jika anda ada masalah Tonsilitis yang serius, dalam hal ini, rujuk pada doktor pakar ENT (Ear, Nose & Throat).

Ada pengalaman melakukan pembedahan Tonsil atau kerap kali kena Tonsilitis? Kongsilah di ruangan comment ya!

Monday, March 15, 2021

Rezeki Tidak Pernah Salah Alamat

Assalamualaikum semua.

Bercerita perihal rezeki ini, sesungguhnya rezeki itu tidak pernah terlewat mahu pun terlambat untuk menemui tuannya. Apabila sudah rezeki, memang akan tiba juga. Tidak terkurang sedikit pun. Tidak terlewat atau lebih cepat walau sesaat pun. Betul tak? Kerana sesungguhnya rezeki kita itu sudah ditakdirkan dari langit. Memetik kata-kata seorang pengarang Tafsir Al-Quran Asy-Sya'rawy, rezeki itu ialah apa sahaja yang memberi manfaat kepada kita. Menurut beliau:

"Rezeki adalah apa-apa yang kita rasakan manfaatnya, sama ada halal atau haram, sama ada baik ataupun buruk."
Contohnya, kesihatan adalah rezeki. Sifat-sifat baik adalah rezeki. Sifat-sifat tidak baik juga adalah rezeki. Segala sesuatu di alam ini sesungguhnya adalah rezeki. Apabila kita cuba dan mula untuk faham bahawa rezeki itu bukan sahaja benda material yang boleh dipegang atau hanya yang nampak di mata, kita akan rasa sangat bersyukur. Kadang kala, harta yang kita miliki, seandainya tidak dapat kita ambil manfaatnya bermakna ia bukanlah rezeki kita. Rezeki kita yang sebenar adalah apa-apa yang sudah kita manfaatkan. Pakaian yang kita pakai, makanan yang kita makan, harta yang sudah kita sedekahkan, itulah sebenarnya rezeki kita. Selainnya, hanya milik kita tetapi bukan rezeki kita.

Seumur hidup kita di dunia ini, kita banyak diuji sebenarnya. Kita diuji dengan apa yang kita miliki, di mana Allah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Dan ketahuilah bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allah ada pahala yang besar." (Al-Anfal 8:28)
Sering kali kita dengar orang yang kecewa tentang rezekinya. Apabila usahanya gagal, hartanya musnah, semua yang dirancang tidak menjadi, semua orang meninggalkannya, maka dia merasa kecewa dalam kehidupannya. Sesungguhnya semua yang Allah tentukan untuk kita adalah untuk kebaikan kita. Semua takdir Allah itu adalah baik. Selama tempoh kita berada di dunia ini sebenarnya untuk menyempurnakan ujian Allah. Selama itu, kita akan diuji dengan satu demi satu ujian. Kesenangan yang kita nikmati juga bukanlah kesenangan yang hakiki kerana kita sebenarnya diuji.

Hakikatnya, kita semua mempunyai rezeki yang unik dan juga ada kelebihan tertentu. Jadi, rezeki itu bukanlah yang berbentuk harta sahaja. Kita tidak pernah tahu bila rezeki itu akan tiba. Ia seperti panas dan hujan, kadang-kadang hujan turun seperti yang disangka, kadang-kadang tidak. Begitulah juga rezeki, ianya adalah hal ghaib. Sesungguhnya, rezeki mutlak itu datang hanya daripada Allah. Tak perlu pening kepala lagi fikir mengenai bila, di mana, dari mana dan banyak mana rezeki yang bakal kita terima kerana semuanya sudah tertulis. Cuma, buat sahaja apa yang Allah suruh kerana Dia yang memberi rezeki kepada kita. Allah berfirman yang bermaksud:

"Dan sesiapa bertakwa kepada Allah nescaya (Dia) akan jadikan baginya jalan keluar. Dan (Dia) akan berikan rezeki padanya dari arah yang tidak (ia) sangka. Dan siapa yang bertawakal kepada Allah maka Dia mencukupinya. Sesungguhnya Allah Maha Melaksanakan perkaraNya. Sungguh Allah telah menjadikan bagi segala sesuatu ketentuan." (Ath-Thalaq 65:2-3)

Semoga kita semua dilimpahkan rezeki yang luas oleh Allah kerana sesungguhnya rezeki itu tidak pernah salah alamat. In shaa Allah.

Friday, March 12, 2021

Penyakit 'Stroke' atau Angin Ahmar

Assalamualaikum semua.

Penyakit Angin Ahmar atau Stroke:
Apa yang anda semua tahu mengenai penyakit angin ahmar atau lebih dikenali sebagai stroke? Hari ini nak kongsi serba sedikit info mengenai penyakit stroke. Sekarang ramai yang dapat penyakit ini kerana beberapa faktor risiko yang boleh diubah atau tidak boleh diubah. Stroke ini sangat berkaitan dengan fungsi otak dan salur darah. Terdapat banyak salur darah pada otak kita dan ianya dikenali sebagai 'Circle of Willis'. Otak kita yang mengawal setiap pergerakan, percakapan dan deria-deria yang lain.

Circle of Willis

Apa itu Stroke?
Stroke adalah satu sindrom klinikal yang berlaku, di mana fungsi otak akan hilang dan menunjukkan simptom-simptom serta tanda klinikal yang jelas, lebih daripada 24 jam, boleh membawa kepada kematian dan tanpa ada sebab-sebab lain yang jelas selain daripada sebab terjejasnya salur darah kita.

Apa itu Penyakit Angin Ahmar atau Stroke, Stroke, Angin Ahmar, Simptom stroke, tanda stroke

Antara Simptom/Tanda Stroke:
  • Hilang sedar/koma (loss of consciousness/coma)
  • Pening kepala yang bukan biasa-biasa (the worst headache in your life)
  • Penglihatan terjejas (double vision/loss of vision)
  • Percakapan terjejas (slurred speech/loss of speech)
  • Kebas/lemah pada sebelah kanan/kiri bahagian muka/tangan/kaki (numbness/weakness of face, arm, leg on one side)
  • Hilang keseimbangan atau koordinasi badan (loss of balance/coordination)

Selalunya boleh dilihat pesakit stroke ini datang dengan kebas atau lemah satu bahagian kiri atau kanan kaki, tangan serta muka. Namun, tidak semuanya pesakit datang dengan tanda atau simptom yang sama kerana ianya berhubung kait dengan bahagian otak yang mana terjejas. Jadi, untuk kepastian, beberapa faktor risiko (risk factor), latar belakang lengkap pesakit (full history taking), pemeriksaan klinikal (clinical examination) serta beberapa ujian darah (lab investigation), CT scan (radiological imaging) dan sebagainya perlu dibuat.

Jenis-jenis Stroke:
Umumnya, ada 2 jenis stroke yang perlu diketahui:

  1. Ischemic stroke - terdapatnya darah beku (clot) yang menghalang darah mengalir ke sebahagian otak
  2. Haemorrhagic stroke - terjadi apabila berlakunya pendarahan dalam otak atau di sekeliling tisu otak

Sebab/Faktor Risiko Stroke:
  1. Faktor Risiko Boleh Ubah (Modifiable Risk Factor)
    • Tekanan darah tinggi (Hypertension)
    • Kencing manis (Diabetes Mellitus)
    • Penyakit jantung atau kardiovaskular (eg. Myocardial Infarction)
    • Kolestrol tinggi (Dyslipidemia)
    • Merokok
    • Minum alkohol
    • Obesiti
    • Kurang bersenam (Physical inactivity)
    • Pengambilan ubat yang mengandungi estrogen tinggi (eg. Oral Contraceptive Pill)
  2. Faktor Risiko Tidak Boleh Ubah (Non-Modifiable Risk Factor)
    • Usia
    • Jantina
    • Etnik/Bangsa
    • Pernah terjadi stroke atau sakit jantung sebelum ini (Previous vascular event)
    • Latar belakang keluarga yang menghidapi stroke
Kesimpulannya, bagi mengurangkan risiko untuk mendapat stroke, kunci utamanya adalah sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat serta pemakanan yang sihat. Jadi, boleh elakkan risiko seperti mendapat penyakit hypertension, diabetes dan sebagainya, di mana ianya adalah faktor risiko seseorang itu mendapat penyakit stroke. Namun, ada juga faktor-faktor yang kita tidak boleh ubah seperti faktor usia yang lanjut dan lain-lain.

Antara Rawatan bagi Pesakit Stroke:
  • Ubat-ubatan (eg. anti-platelet, anti-hypertensive, lipid lowering agent, treat underlying causes)
  • Rehabilitasi (eg. Physiotherapy, Speech therapy)
Umumnya, pesakit stroke akan mengalami beberapa komplikasi, jadi sangat penting juga untuk diberi perhatian yang lebih dan merawat komplikasi tersebut. Pesakit stroke juga mudah untuk mengalami gangguan dari segi emosi jadi sangatlah penting untuk ahli keluarga atau rakan-rakan untuk memberi sokongan moral dan emosi supaya mereka kuat untuk menghadapi hari-hari mereka selepas mendapat stroke. Ini kerana pesakit stroke selalunya tidak boleh berjalan atau bergerak seperti mana kebiasaannya. Jadi mereka mudah untuk stress atau tertekan.

Kadar kesembuhan(prognosis) seseorang pesakit stroke itu bergantung kepada jenis stroke, saiz salur darah dan lokasi yang terlibat serta beberapa faktor lain. Haemorrhagic stroke mencatatkan lebih banyak kadar kematian daripada ischemic stroke. Namun, dengan teknologi yang semakin maju serta taraf penambahbaikan sektor kesihatan sekarang ini telah menunjukkan kadar penurunan bilangan kematian yang disebabkan penyakit stroke.

Ia juga sangat membantu jika penyakit stroke ini dapat dikenal pasti dengan lebih awal dan memudahkan langkah-langkah merawat dan mengubatinya. Jadi kalau ada tanda-tanda atau simptom stroke, cepat-cepat dapatkan rawatan ke klinik atau hospital yang berdekatan ya. Ok sampai sini saja dapat berkongsi serba sedikit info mengenai penyakit stroke. This is only the tip of the iceberg. Semoga bermanfaat!

Kalau anda semua ada pengalaman diri sendiri menghidapi stroke atau pengalaman menjaga ahli keluarga atau rakan-rakan yang menghidapi stroke serta ingin berkongsi pandangan, bolehlah berkongsi di ruangan comment ya!

Terima kasih semua.

Thursday, March 4, 2021

Perbezaan Espresso, Mocha, Latte, Cappucino, Americano dan Macchiato

Assalamualaikum semua.

Bagi peminat atau penggemar kopi, pastikan anda tahu tentang ini. Espresso, Mocha, Latte, Cappucino, Americano dan Macchiato. Mana satu pilihan anda? Belum pasti? Tak tahu apa beza dia? Selalu main pilih dan order saja kopi di kedai? Kenali apakah perbezaan di antara semua jenis kopi ini dari sudut definisi dan komposisi yang membentuk variasi tersebut.


Espresso
Bancuhan kopi yang agak keras. Memiliki identiti keras, pekat melekat. Kebiasaan dibancuh menggunakan mesinnya yang tersendiri dengan kawalan suhu, dan tekanan air yang telah disesuaikan. Espresso boleh dikatakan asas kepada bancuhan lain, sebagai 'lantai' bancuhan. Espresso dihidangkan dengan kuantiti isipadu yang sedikit sahaja bukan dalam bekas air yang besar. Sekadar untuk memuaskan tekak peminat kopi pekat. Kepahitannya boleh dikurangkan dengan menambahkan gula meskipun sudah terdapat susu di dalamnya.

Mocha
Wujud apabila espresso ditambahkan dengan campuran coklat. Senang cerita mempunyai unsur 'neslo', nescafe campur milo. Kuantiti coklat bukanlah khas dengan beberapa sudu atau shot, suka hatilah mahu ditambah sebanyak mana. Senang cerita mocha adalah espresso yang ditambah coklat.

Latte
Masih lagi berkisar kepada perkataan espresso. Latte wujud apabila susu yang sudah distim dicampurkan dengan espresso. Espresso yang mempunyai rasa pahit yang keras boleh dikurangkan kekerasanya dengan penambahan susu yang distim. Kewujudan 'foam' masih belum lagi kelihatan.

Cappucino
kap-pu-cino, entiti yang masih lagi tidak lari dari espresso. Memiliki karakter yang agak berlainan dengan yang lain, hanya sekadar 'foam' buih-buih halus yang banyak. Foam ini biasanya diperoleh dari mesin ketika membancuh espresso itu sendiri, kepanasan mesin membentuk foam. Jika anda kenal teh tarik, atau nescafe tarik, mungkin ini merupakan versi komersialnya. Cappucino adalah espresso yang berbuih, foam. Penggemar cappucino mungkin akan menambahkan serinya dengan 'cinnamon'.

Americano
Hidup amat sukar jika anda bukan peminat kopi pekat espresso. Namun, bukan sesukar sangat kerana americano style diperkenalkan. Secara praktikalnya americano merupakan perkara common sense harian kita. Jika rasa espresso pekat sangat nak bagi lembut dan sedap ditelan tambahlah air. Jadi, itulah americano. Tambahkan air untuk melembutkan rasa pahit melekat espresso.

Macchiato
Merupakan perkataan Itali yang bermaksud, 'marks' atau 'stained' atau dalam bahasa Melayu, diubah. Macchiato bukanlah suatu jenis bancuhan berasaskan espresso yang baharu akan tetapi merupakan nama adjektif atau perbuatan terhadap bancuhan yang sedia ada. Latte macchiato, kopi latte yang sudah di'macchiato'kan, mocha macchiato adalah kopi mocha yang sudah di'macchiato'kan. Dilukis foam dengan pelbagai jenis entiti berbentuk hati, daun, bunga, beruang atau apa saja pada foam tersebut. Sama seperti cappucino namun tiada steam milk. Espresso bersama foam.

Mocha, latte, cappucino dan americano sebenarnya adalah hasil kreativiti barista kopi semata-mata. Modifikasi dari espresso, dengan mencampurkan susu atau coklat dengan perkadaran tertentu. Kewujudan kesemua istilah di atas adalah kreativiti semata-mata, modifikasi espresso menjadi pelbagai bancuhan lain.

Bagi penggemar kopi yang beridentiti moden mungkin terma dan syarat di atas merupakan kaedah mereka untuk menikmati kopi namun jika sememangnya seseorang itu adalah 'caffeine addict', nescafe 3 in 1 atau kopi kapal api sudah memadai.