Wednesday, October 17, 2018

Mereka Yang Berani Gagal


Assalamualaikum semua.

Apakah erti kegagalan bagi anda? Apakah yang akan anda buat jika anda mengalami kegagalan?

'Apakah yang akan anda buat jikalau anda tahu bahawa anda tidak mungkin gagal?'-Dr. Robert Schuller-
Kegagalan itu bukanlah bererti anda seorang yang gagal.
Ia hanyalah bererti anda masih belum berjaya lagi.

Kegagalan bukanlah bererti anda tidak mencapai apa-apa.
Ia sebenarnya bererti anda sudah mempelajari sesuatu.

Kegagalan juga tidaklah bermaksud anda bodoh kerana mencuba.
Ia bererti anda berani, berhati teguh, bersemangat waja dan berbanggalah dengan diri anda.

Kegagalan bukan bermakna anda tidak akan berjaya.
Ia bererti anda memerlukan sedikit lagi masa.

Kegagalan tidak bermakna anda kecundang.
Ia hanyalah bermakna anda berpeluang untuk bermula semula, mencuba sesuatu yang baru.

Kegagalan juga bukan bermakna Tuhan telah meninggalkan anda.
Ia hanyalah bermakna Dia mempunyai rancangan yang lebih baik untuk anda.

Jadi, benarlah bahawa kegagalan itu tidak pernah muktamad!

Suatu ketika dulu, aku juga pernah gagal, dan aku percaya begitu juga dengan semua orang. Kita semua pernah gagal, kerana mencuba itu mengambil risiko untuk gagal. Mereka yang berani melakukan apa yang tiada orang lain pernah lakukan adalah mereka yang berani gagal. Betapa jauhnya anda jatuh tidak menjadi hal, tetapi yang mustahaknya betapa tinggi anda bangkit kembali!

'Bagi setiap kisah kejayaan besar seperti Bill Gates di Amerika Syarikat,terdapat 5000 kegagalan.'-Memetik kata-kata juruanalisis di sebuah pusat MITI, Jepun-
Jadi, jangan takut untuk menghadapi kegagalan kerana di sebalik kegagalan itu semua, akan ada kejayaan yang akan muncul. Lakukanlah apa yang anda ingin lakukan serta jangan undur kembali. Jika anda membuat kesilapan, buatlah kesilapan yang hebat! Lain orang lain ujiannya. Ujian seseorang itu adalah perjuangan yang dia perjuangkan.

Ketabahan yang ditunjukkan saban hari. Bagaimana dia berdiri teguh dan menahan. Hentaman dan pukulan yang datang menghujani. Pengecut hanya mampu tersenyum bila tiada apa yang dia harus takutkan. Dalam kehidupan kita, bukan kejayaan atau kemenangan itu yang utama, tetapi perjuangan yang kita perjuangkan dalam menghadapi ujian dan kegagalan. Orang yang bila dia tersepit dan terpaksa, masih mampu lagi berdiri tegak dan menahan pukulan-pukulan takdir. Dialah orang yang akan menang di akhirnya, kerana dialah orang yang berani gagal.

Tahniah kepada mereka yang berani gagal!

3 comments:

  1. salam .. singgah sini.. salam perkenalan :)// perkongsian menarik

    ReplyDelete
  2. Orang yang pernah melalui kegagalan akan lebih menghargai kejayaan..

    ReplyDelete