Tuesday, May 14, 2019

Ikhlas Terletak Pada Hati

Assalamualaikum semua.

Adakah sama kualiti ibadat kita ketika bersendirian dan ketika berada di hadapan orang? Mohonlah petunjuk dan bimbingan daripada Allah SWT supaya kita termasuk dalam golongan beriman dan beramal dengan penuh keikhlasan. Ikhlas bermaksud melakukan sesuatu amalan atau kebajikan untuk mendapat reda Allah SWT semata-mata. Sifat itu menjadi syarat Allah SWT menerima ibadat yang kita lakukan.

Untuk mendapatkan keikhlasan memerlukan hati yang bersih. Antaranya, memperbanyakkan zikir, mengingatkan diri tentang keikhlasan, tidak bergantung kepada makhluk, mengagungkan Allah SWT dan istiqamah melakukan ibadat. Amalan yang dilihat besar nilainya di mata manusia belum tentu mempunyai nilai di sisi Allah SWT, tanpa keikhlasan.

Imam al-Ghazali menyatakan dalam kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din:
“Setiap manusia akan binasa kecuali orang yang berilmu, dan orang yang berilmu akan binasa kecuali yang beramal dengan ilmunya, dan orang yang beramal juga binasa kecuali yang ikhlas dalam amalannya.”
Ikhlas itu letaknya di hati. Ia menjadi dasar penilaian Allah SWT terhadap amalan hamba-hamba-Nya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa dan harta kamu, tetapi Allah SWT melihat kepada hati dan amalan kamu."

Ikhlas, Maksud Ikhlas, Keikhlasan, Ikhlas Terletak Pada Hati

Ikhlas menjadi keutamaan dan kunci ketaatan seorang mukmin kerana:

1. Ikhlas adalah perintah daripada Allah SWT. Firman-Nya dalam Surah az-Zumar, ayat 11 bermaksud: Katakanlah lagi wahai Muhammad: “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan segala ibadat kepada-Nya.”

2. Ikhlas menjadi syarat ibadat diterima Allah SWT. Firman-Nya dalam Surah Ghafir, ayat 14 bermaksud: “Oleh itu, maka sembahlah Allah SWT dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, sekalipun orang kafir tidak menyukai amalan kamu itu.”

3. Ikhlas adalah tanda keimanan yang memberikan ketenangan. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Fath, ayat 18 bermaksud: “Demi sesungguhnya! Allah SWT reda akan orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (Wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahui-Nya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Dia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya.”

4. Ikhlas menjauhkan daripada sifat riyak (menunjuk-nunjuk). Hati orang yang ikhlas tidak menunjuk-nunjuk ketika melakukan kebaikan.

5. Ikhlas menjauhkan sifat munafik. Hati yang ikhlas melahirkan akhlak yang sebenar.

Bagaimanapun, kebanyakan kita meremehkan sifat ikhlas. Kemungkinan ia sangat sulit dilakukan kerana untuk bersikap ikhlas, seseorang perlu menyingkirkan sifat angkuh dalam dirinya. Begitu juga dengan sifat riyak. Seorang Muslim yang mampu menjalani ibadat dengan ikhlas dijanjikan pelbagai keutamaan oleh Allah SWT.

Beberapa tanda keikhlasan dapat dilihat jika seseorang merasa takut melanggar perintah Allah SWT atau dia melakukan sesuatu kebajikan secara diam tanpa menghebahkan kepada orang lain.

Perkongsian daripada Dr. Nurkhamimi Zainuddin
(Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia)

13 comments:

  1. Sentiasa ikhlas dalam beramal
    lama kelamaan akan sebati dalam jiwa

    ReplyDelete
  2. Pendek kata, semua pekerjaan kena ikhlas... Barulah hati akan berasa tenang dan gembira.

    ReplyDelete
  3. Tak mudah nak ikhlas tp bila dah sekali buat, rasa tenang dan lapang dada.

    ReplyDelete
  4. betul tu... ikhlas ke tak ada dlm hati... hanya si empunya hati je tahu

    ReplyDelete
  5. Ikhlas kena datang dari hati. Baru setiap kerja lakukan. Rasa puas..

    ReplyDelete
  6. alhamdulillah terima kasih sharing. sangat bermakna ^_^

    ReplyDelete
  7. "Ikhlas itu ibarat semut hitam yang berjalan di atas batu yang hitam pada malam yang gelap"

    ReplyDelete
  8. terima kasih dia tas perkongsian ini

    ReplyDelete
  9. Ikhlas adalah perkara yang sukar untuk dinilai...

    Hanya Allah SWT yang tahu menilai keikhlasan kita

    ReplyDelete
  10. umpama semut hitam didalam kegelapan.. Itulah ikhlas..
    Tq untuk perkongsian ini..

    ReplyDelete
  11. susah nak ikhlas..tapi kena usahakan sebab once dalam hati da terfikir "takut riak" masa tengah buat amal, kena teruskan amal tu...bila berhenti, itu yang kita takut jatuh jadi riak...

    ReplyDelete
  12. Semoga Kita sentiasa dapat merih keikhlasan

    ReplyDelete