Masalah Ekzema Disebabkan Produk Kosmetik

Ekzema di lengan akibat penggunaan losyen badan

Assalamualaikum semua.

Sedikit perkongsian mengenai masalah ekzema disebabkan produk kosmetik. Berhati-hati ketika membeli dan memakai barang kosmetik. Kadang-kadang terdapat bahan-bahan terlarang yang dicampurkan di dalamnya yang sangat bahaya untuk kesihatan kulit dan tubuh badan.


Masalah Ekzema Disebabkan Produk Kosmetik

Menurut US Food and Drug Administration (US FDA), “kosmetik” bermaksud (1) sesuatu yang disapu, dituang, ditabur, disembur, dimasukkan ke dalam, atau dengan cara lain digunakan untuk tubuh manusia atau mana-mana bahagiannya untuk membersihkan, mencantikkan, memberi daya tarikan atau mengubah penampilan, dan (2) sesuatu yang digunakan sebagai komponen mana-mana produk; tidak termasuk sabun.

Ini termasuk alat solek muka, barangan penjagaan kulit, minyak wangi, produk untuk rambut dan kuku, gel atau krim pencukur dan apa jua produk kebersihan diri seperti ubat gigi atau deodoran. Gel mandian dan pencuci kebersihan wanita juga dikategorikan sebagai kosmetik. Kesan sampingan yang disebabkan oleh penggunaan kosmetik sangat lazim terjadi. Adalah sukar untuk menganggarkan kadar insiden reaksi sampingan akibat penggunaan produk kosmetik kerana kebanyakan pengguna tidak mendapatkan nasihat perubatan dan hanya menghentikan penggunaan produk yang disyaki menyebabkan tindak balas.

Gejala dan Tanda-tanda

Mana-mana bahagian badan boleh dihidapi ekzema disebabkan penggunaan kosmetik. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa bahagian kulit yang sering terlibat dengan ekzema yang disebabkan penggunaan kosmetik, seperti muka, kelopak mata, leher, tangan, kulit kepala dan bahagian kemaluan.

Pesakit-pesakit mungkin mengalami rasa kulit seperti terbakar, sakit, gatal, bengkak, kemerahan atau melepuh di bahagian yang disapu produk kosmetik. Terdapat pelbagai jenis kesan sampingan yang disebabkan oleh produk kosmetik termasuk dermatitis/ekzema (irritant atau alergi), urtikaria, sensitif kepada matahari, masalah pigmentasi, kerosakan pada rambut dan kuku, jerawat dan juga menyebabkan ekzema sedia ada menjadi lebih teruk.

Bahan-bahan dalam Produk Kosmetik yang Boleh Menyebabkan Ekzema

Bahan-bahan dalam produk kosmetik yang seringkali menyebabkan ekzema termasuk formaldehyde (sejenis pengawet), pewangi, pewarna, produk penjagaan rambut, resin dalam pengilat kuku dan antioksidan. Bahan-bahan pengawet seperti paraben atau thimerosal kadang-kadang boleh menyebabkan masalah yang sama.

Cara Doktor Membuat Diagnosis

Doktor akan mengambil sejarah pesakit secara menyeluruh dan melakukan pemeriksaan fizikal dengan teliti supaya diagnosis dan rawatan yang tepat dapat diberikan untuk ekzema yang berpunca dari penggunaan produk kosmetik. Ujian tampalan (patch test) sering digunakan untuk mengesahkan jika ekzema tersebut berpunca akibat penggunaan produk kosmetik.

Cara Mengurangkan atau Mengelakkan daripada Mendapat Ekzema Akibat Produk Kosmetik

Amat penting untuk elak dari menggunakan produk kosmetik yang mengandungi bahan-bahan yang pesakit memang sudah ketahui bahawa beliau alergi kepada bahan tersebut. Setelah ujian patch test dilakukan dan bahan yang menyebabkan alergi diketahui, pesakit perlu diberi penerangan tentang bahan yang beliau alergi. Pesakit dinasihatkan supaya berhati-hati dan memeriksa bahan-bahan dalam produk kosmetik sebelum membuat pembelian untuk mengelakkan mereka daripada terdedah kepada bahan-bahan yang mereka alergi.

Sumber: MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia
Share:

6 comments:

  1. ohh bole jadi punca dari produk yg kite guna ya. baru tau. nice sharing

    ReplyDelete
  2. Sekarang ni banyak produk yang berbahaya ada di pasaran. Kita kena periksa betul-betul sebelum beli apa-apa produk.

    ReplyDelete
  3. Menakut juga kalau pakai macam-macam produk ni

    ReplyDelete
  4. Kena hati hati dalam memilih produk sekarang ni..

    ReplyDelete
  5. Oo kiranya mcm tersalah pakai produk boleh akibat Kan eczema ye

    ReplyDelete