Saturday, October 27, 2018

Rasa Syukur: Jalan Pintas Menuju Bahagia


Assalamualaikum semua.

Alhamdulillah syukur. Masih diberi peluang untuk bangun pagi ini dan melihat dunia. Adakah hati kita ini selalu menyebut kalimah syukur secara automatik tanpa disuruh? Wallahualam. Jika belum, mulalah dengan mengungkap rasa syukur setiap kali bangun dari tidur sebagai tanda menyapa sang suria yang mula memanaskan dingin pagi.

Seolah-olah kita mahu memeluk dingin pagi dengan penuh rasa cinta dan bahagia. Alhamdulillah. Kadang-kadang aku juga manusia yang alpa dan sering lupa untuk melontarkan kalimah syukur ini di dalam hati dan juga mulut, tanda bersyukur kepadaNya.

Rasa betapa damai dan bahagia hidup yang di dalamnya tinggi rasa syukur. Perasaan menyenangkan zahir batin hingga dikatakan hidup dalam rasa syukur menjadi jalan pintas menuju bahagia. Lakukanlah setiap hari dan rasai sendiri bahagia itu. Kaedah ini menjadikan kita lebih pantas menuju kejayaan.

Lebih kerap kita bersyukur dan bersungguh-sungguh, lebih banyak pula Dia akan memberi apa yang kita mahukan. Untuk meraih rasa nikmat bahagia kita disarankan agar bersyukur dan mendoakan setiap perkara yang menggambarkan kebahagiaan serta kemakmuran yang akan terjadi dalam hidup dan persekitaran kita.

Bermula dengan diri kita, perasaan kita, di rumah kita dan orang yang berada di sekeliling kita. Perkara yang kita dengar, lihat dan rasa. Barang milik kita dan semua yang kita miliki. Ungkap rasa hormat dan terima kasih kita pada semua itu dengan sepenuh perasaan dalam hati. 

Tarik nafas panjang-panjang dan sedalam-dalamnya, terimalah dengan rasa puas, sampaikan terima kasih kepada Pencipta semua itu dari dalam hati. Sedarlah bahawa getaran gelombang rasa syukur dan rasa ikhlas adalah jalinan komunikasi terkuat antara kita dengan Pencipta untuk meraih kebahagiaan.

Rasa syukur yang tinggi melahirkan personaliti yang mengagumkan disebut kelembutan. Di mana jua kelembutan berada, ia akan menjadi perhiasan di tempat itu. Kelembutan tutur kata, senyum di bibir serta sapaan yang lembut dan hangat saat bersua dengan teman merupakan perhiasan yang selalu digunakan oleh orang yang mulia dan banyak bersyukur. 

Inilah bentuk kelembutan anugerah Allah yang diberi kepada insan terpilih terutama mereka yang selalu bersyukur. Titipkanlah rasa syukur dalam apa jua corak hidup yang kita lalui kerana semua itu sudah dipandu olehNya. Bersyukurlah selagi masih sempat dan masih berada di dunia ini. Alhamdulillah syukur. Semoga kita menjadi insan terpilih yang penuh dan tinggi dengan rasa syukur.

4 comments:

  1. nice sharing :)

    jadi orang sentiasa bersyukur walaupun ada rasa tak cukup bagi seoarang yang bernama manusia.
    Belajar bersyukur dengan apa yang kita ada kerana masih banyak orang lagi yang memerlukan apa yang kita sudah miliki.

    ReplyDelete
  2. semoga kita sentiasa bersyukur :) btw folllow sini

    ReplyDelete
  3. Yup. . Syukur itu kunci bahagia... 😇

    ReplyDelete
  4. setuju sangat.. sentiasa bersyukur akan memberi rasa dan nikmat bahagia..

    ReplyDelete