Friday, December 7, 2018

Terima Kasih - Winter Words & Warm Memories


Di sepanjang perjalanan ini,
kita akan bertemu,
sama orang orang santun,
yang bisa menerima kita,
dengan apa adanya.

Tidak mencarik,
masa masa lalu kita,
bahkan menarik kita,
bersama menuju lorong cahaya.

Tidak menolak kita,
saat ketemukan sisi kurangnya kita,
malah gigih sekali,
menampal luka lukanya.

Terima kasih teman,
karena mencintai aku,
meski sudah tahu apa lebih,
dan juga kurang.

Jangan lepas tangan ini,
sehingga kaki kita menjejak,
ke syurga Illahi.

"Terima kasih,
Pada manusia manusia,
Yang terus mencintai,
Diri ini."
 Terima Kasih - Winter Words & Warm Memories 

Sunday, November 18, 2018

Rumah Penginapan - Love Like Rumi


Wujud manusia adalah rumah penginapan
Setiap pagi, tamu baru
Kegembiraan, kesesakan, kekejaman
Kadang kesedaran-kesedaran sesaat tiba
Sebagai tamu kejutan.

Sambut dan jamu semua
Bahkan jika itu tumpukan kesedihan
Yang ganas sapu semua perkakas rumahmu
Boleh jadi ia bersihkan dirimu
Demi pesona baru.

Kesesakan, rasa malu, kelicikan
Berlawan di pintu dengan ketawa
Ajak masuk
Syukuri apa aja yang datang
Kerana semua diutus
Sebagai pandu dari sana.

Jika direnungkan dan diambil hikmahNya, kesulitan juga mematangkan dan memberi pencerahan. Kesederhanaan itu sebaik-baiknya.
Rumah Penginapan - Love Like Rumi

Friday, November 16, 2018

Kenali Apa Itu Penyakit Bipolar | Bipolar Disorder

Assalamualaikum semua.

Salam Jumaat penghulu segala hari! Siapa dekat sini yang senang sangat nak bertukar mood dia? Kejap rasa stress, sedih, kejap rasa gembira sangat tak terkata. Kadang-kadang rasa macam, eh aku ni sakit ke? Apa kena dengan aku ni? Ada tak macam tu? Ok semua. Pernah dengar penyakit Bipolar atau 'Bipolar Disorder'? Marilah kita kenali apa itu penyakit Bipolar atau 'Bipolar Disorder'.

Apakah Penyakit Bipolar atau 'Bipolar Disorder'?

Ianya adalah satu penyakit mental yang melibatkan perubahan emosi  atau mood yang melampau. Pada masa tertentu individu berada pada kutub tertentu, pada masa lain berada pada kutub bertentangan. Individu boleh berada pada suatu kutub iaitu episod manik/hipomanik atau kutub bertentangan iaitu episod kemurungan. Apabila diserang penyakit ini, fungsi akan terjejas, tidak dapat mengawal diri, pekerjaan merosot, hubungan sosial terganggu.

Episod Manik
Mengalami (selama 7 hari/lebih) :
-Mood/emosi melampau, mudah marah, resah
-Peningkatan self-esteem
-Bercakap banyak dari biasa
-Tidur yang singkat < 3jam
-Mempunyai banyak idea & aktiviti yang mahu dilakukan
-Fikiran mudah terganggu
-Melakukan aktiviti memudaratkan seperti seks rambang, melabur, membeli barang mahal 

Episod Hipomanik
Mengalami (selama 4 hari/lebih) :
-Sama seperti episod manik
-Tiada gangguan kepada fungsi individu/pekerjaan/hubungan sosial.

Episod Kemurungan (Depression)
Mengalami (selama lebih 2 minggu) :
-Perasaan sedih
-Tiada minat melakukan aktiviti seharian/aktiviti disukai
-Berat badan, selera makan berkurang/bertambah
-Susah tidur/tidur yang melampau
-Cepat letih/kurang bertenaga
-Rasa diri tidak berguna/rasa bersalah/tiada keyakinan diri
-Konsentrasi mudah terganggu
-Berfikir berulang kali untuk membunuh diri/cubaan bunuh diri

Bagaimanakah Merawat Penyakit Bipolar?
-Pesakit episod manik/kemurungan yang serius perlu dimasukkan ke hospital

-Rawatan Biologikal (Ubat-ubatan):
  1. Mood Stabilizer
  2. Anti-psychotic
  3. Anti-depressant
  4. Anti-anxiety
  5. Sleeping Pill
-Rawatan Psikososial:
  1. Berbincang cara penyelesaian masalah
  2. Berbincang cara menangani kemarahan
  3. Berbincang cara menangani stress
  4. Mendapat penjelasan tentang penyakit, rawatan dan komplikasi
Ok, jadi ini serba sedikit tentang penyakit Bipolar atau 'Bipolar Disorder'. Semoga bermanfaat buat semua.

Monday, November 12, 2018

Yang Mana Satu, Kejayaan Atau Kebahagiaan?


Assalamualaikum semua.

Kejayaan dan kebahagiaan itu sesungguhnya memang menjadi idaman setiap daripada kita. Tanpa mengira asal usul, pangkat, kaya atau miskin, di desa atau di bandar. Persoalan yang sering menghantui diri kita, adakah kita perlu berjaya dahulu untuk meraih sebuah kebahagiaan?
Menurut Sayidina Ali bin Abu Talib: "Kebahagiaan ialah sesuatu yang dapat menghantar kepada kejayaan (syurga)."
Ini jelas menunjukkan bahawa sebuah kebahagiaan itu merupakan alat untuk meraih kejayaan dan bukan sebaliknya, sedangkan kita berasa bahagia ketika mencapai kejayaan yang diimpikan. Contohnya di sini, apabila kita berjaya meraih segulung ijazah atau berjaya naik pangkat, mari tanya diri kita ini yang mana lebih berharga, pencapaian itu sendiri atau perasaan bahagia kita?

Kita sudah mendapatkan segulung ijazah tapi terfikir pula bahawa ramai yang sudah ada segulung ijazah namun masih juga sulit untuk mendapat pekerjaan, adakah kita merasa bahagia? Kita menjadi seorang jutawan tapi bimbang pula harta akan dicuri orang, adakah kita masih bahagia? Mungkin tidak. Maka jelaslah di sini bahawa bahagia kita itu bukan semata bergantung kepada segulung ijazah atau harta.

Hal ini kerana bahagia itu ialah pada perasaan tenang, puas dan damai yang sebenarnya sudah diberi secara percuma tanpa henti dalam diri kita ini. Tak perlu mengejarnya di mana-mana kerana kita boleh sahaja berasa bahagia tanpa segulung ijazah atau harta yang melimpah ruah.

Dalam erti kata lain, kita selama ini sudah menemui kejayaan tetapi tidak menikmati rasa berjaya itu dalam diri setiap hari. Padahal jika kita mampu mengolah rasa itu dalam setiap aktiviti kehidupan, pasti kita sudah pun menikmatinya. Ini kerana sebuah kejayaan itu bukan satu pencapaian tetapi ianya adalah hasil daripada rasa hati kita yang bahagia.

Proses mencapai sebuah kejayaan itu hakikatnya lebih bermakna dalam menuju apa yang diimpikan, bukan hasilnya semata-mata. Jika hati kita berasa bahagia, hasilnya pasti sebuah kejayaan. Jika inilah prinsipnya, maka kita akan sentiasa menjalani hidup dengan rasa kejayaan. Jika kita merasa bahagia, maka kejayaan akan bersama kita hingga hujung nyawa.

Sunday, October 28, 2018

Langkah Awal Jika Anak Mengalami Sawan/Kancing Gigi

Assalamualaikum semua.

Anak-anak kecil atau bayi kerap kali demam dan kadang kala demam panas yang berpanjangan. Sawan/kancing gigi ketika demam panas disebut sebagai 'febrile seizure' jika dalam bahasa 'medical' nya. Ibu-ibu pernah ada pengalaman anak-anak demam panas sampai kena sawan/kancing gigi tak?

Mesti cemas dan takut, risau lagi, tengok anak kita macam tu kan? Nak nak lagi kalau pertama kali kena macam tu. Betul tak? Memang tak sanggup tengok anak-anak ni tak sihat sedikit, sedih dan risau sangat kan?

Apa itu 'febrile seizure'?
Ianya adalah sawan/kancing gigi yang terjadi hanya apabila kanak-kanak demam panas, tanpa bukti-bukti jangkitan kuman pada otak atau lain-lain sebab yang boleh menyebabkan sawan terjadi. Kerap kali terjadi dalam kalangan kanak-kanak atau bayi yang berumur 3 bulan hingga 6 tahun.

Sebab-sebab perlu dimasukkan ke hospital:

  • Apabila sawan/kancing gigi itu pertama kali terjadi
  • Untuk memastikan sawan/kancing gigi itu bukan atas sebab-sebab lain seperti jangkitan kuman pada otak ('meningitis'/'encephalitis') atau ketumbuhan pada otak atau lain-lain sebab
  • Takut akan berlaku episod sawan/kancing gigi seterusnya yang berulang
  • Untuk mengenal pasti punca demam panas selain daripada 'meningitis' atau 'encephalitis'
  • Untuk mengurangkan kerisauan ibu bapa/penjaga
  • Tinggal jauh dari hospital atau klinik
Antara langkah awal yang boleh dilakukan jika anak mengalami sawan/kancing gigi:
  • Bertenang dan jangan cemas
  • Perhatikan berapa lama sawan/kancing gigi itu terjadi, bila dan sedang buat apa ketika ianya terjadi
  • Letakkan anak dalam posisi baring mengiring ke sebelah kiri
  • Lapkan muntah atau apa-apa cecair yang keluar dari mulut, jika ada
  • Jangan letakkan apa-apa objek seperti sudu atau kain di dalam mulut, jika gigi sudah terkancing
  • Jangan bagi apa-apa makanan, minuman, ubat atau cecair melalui mulut.
  • Sentiasa berada dekat dengannya sehingga sawan/kancing gigi beransur reda
  • Selepas sawan/kancing gigi reda, tenangkan anak anda
  • Jika sawan/kancing gigi masih tidak reda dan berlaku lebih dari 5-10minit, segera bawa ke klinik atau hospital yang berdekatan


'Febrile seizure' ini tidak bahaya dan hanya berlaku ketika demam panas. Tiada komplikasi yang merbahaya direkodkan setakat ini melainkan ada beberapa faktor seperti genetik keluarga yang mempunyai sawan/epilepsi. Jika terdapat faktor-faktor tersebut, kanak-kanak atau bayi mungkin akan kerap mengalami sawan.

Jadi, ibu-ibu dah boleh bertenang dan jangan cemas sangat ya bila anak kena sawan/kancing gigi. Ambil langkah-langkah awal seperti di atas, in shaa Allah, semua ok. Itu saja nak kongsikan hari ni. Semoga memberi manfaat kepada semua!