Monday, March 15, 2021

Rezeki Tidak Pernah Salah Alamat

Assalamualaikum semua.

Bercerita perihal rezeki ini, sesungguhnya rezeki itu tidak pernah terlewat mahu pun terlambat untuk menemui tuannya. Apabila sudah rezeki, memang akan tiba juga. Tidak terkurang sedikit pun. Tidak terlewat atau lebih cepat walau sesaat pun. Betul tak? Kerana sesungguhnya rezeki kita itu sudah ditakdirkan dari langit. Memetik kata-kata seorang pengarang Tafsir Al-Quran Asy-Sya'rawy, rezeki itu ialah apa sahaja yang memberi manfaat kepada kita. Menurut beliau:

"Rezeki adalah apa-apa yang kita rasakan manfaatnya, sama ada halal atau haram, sama ada baik ataupun buruk."
Contohnya, kesihatan adalah rezeki. Sifat-sifat baik adalah rezeki. Sifat-sifat tidak baik juga adalah rezeki. Segala sesuatu di alam ini sesungguhnya adalah rezeki. Apabila kita cuba dan mula untuk faham bahawa rezeki itu bukan sahaja benda material yang boleh dipegang atau hanya yang nampak di mata, kita akan rasa sangat bersyukur. Kadang kala, harta yang kita miliki, seandainya tidak dapat kita ambil manfaatnya bermakna ia bukanlah rezeki kita. Rezeki kita yang sebenar adalah apa-apa yang sudah kita manfaatkan. Pakaian yang kita pakai, makanan yang kita makan, harta yang sudah kita sedekahkan, itulah sebenarnya rezeki kita. Selainnya, hanya milik kita tetapi bukan rezeki kita.

Seumur hidup kita di dunia ini, kita banyak diuji sebenarnya. Kita diuji dengan apa yang kita miliki, di mana Allah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Dan ketahuilah bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allah ada pahala yang besar." (Al-Anfal 8:28)
Sering kali kita dengar orang yang kecewa tentang rezekinya. Apabila usahanya gagal, hartanya musnah, semua yang dirancang tidak menjadi, semua orang meninggalkannya, maka dia merasa kecewa dalam kehidupannya. Sesungguhnya semua yang Allah tentukan untuk kita adalah untuk kebaikan kita. Semua takdir Allah itu adalah baik. Selama tempoh kita berada di dunia ini sebenarnya untuk menyempurnakan ujian Allah. Selama itu, kita akan diuji dengan satu demi satu ujian. Kesenangan yang kita nikmati juga bukanlah kesenangan yang hakiki kerana kita sebenarnya diuji.

Hakikatnya, kita semua mempunyai rezeki yang unik dan juga ada kelebihan tertentu. Jadi, rezeki itu bukanlah yang berbentuk harta sahaja. Kita tidak pernah tahu bila rezeki itu akan tiba. Ia seperti panas dan hujan, kadang-kadang hujan turun seperti yang disangka, kadang-kadang tidak. Begitulah juga rezeki, ianya adalah hal ghaib. Sesungguhnya, rezeki mutlak itu datang hanya daripada Allah. Tak perlu pening kepala lagi fikir mengenai bila, di mana, dari mana dan banyak mana rezeki yang bakal kita terima kerana semuanya sudah tertulis. Cuma, buat sahaja apa yang Allah suruh kerana Dia yang memberi rezeki kepada kita. Allah berfirman yang bermaksud:

"Dan sesiapa bertakwa kepada Allah nescaya (Dia) akan jadikan baginya jalan keluar. Dan (Dia) akan berikan rezeki padanya dari arah yang tidak (ia) sangka. Dan siapa yang bertawakal kepada Allah maka Dia mencukupinya. Sesungguhnya Allah Maha Melaksanakan perkaraNya. Sungguh Allah telah menjadikan bagi segala sesuatu ketentuan." (Ath-Thalaq 65:2-3)

Semoga kita semua dilimpahkan rezeki yang luas oleh Allah kerana sesungguhnya rezeki itu tidak pernah salah alamat. In shaa Allah.

3 comments:

  1. Betul, rezeki tak pernah salah alamat. Cepat atau lambat, itu semua kuasa Allah. Semoga kita dilimpahkan dan dimurahkan rezeki yang melimpah ruah. Aamiin :)

    ReplyDelete
  2. Amin...betul..setuju..sememangnya percaya pada rezeki kerana rezeki tidak pernah salah alamat

    ReplyDelete
  3. betul2... klu dah tertulis rezeki kita.. insyallah memang tak pernah salah alamat :)

    ReplyDelete