Sunday, October 28, 2018

Langkah Awal Jika Anak Mengalami Sawan/Kancing Gigi

Assalamualaikum semua.

Anak-anak kecil atau bayi kerap kali demam dan kadang kala demam panas yang berpanjangan. Sawan/kancing gigi ketika demam panas disebut sebagai 'febrile seizure' jika dalam bahasa 'medical' nya. Ibu-ibu pernah ada pengalaman anak-anak demam panas sampai kena sawan/kancing gigi tak?

Mesti cemas dan takut, risau lagi, tengok anak kita macam tu kan? Nak nak lagi kalau pertama kali kena macam tu. Betul tak? Memang tak sanggup tengok anak-anak ni tak sihat sedikit, sedih dan risau sangat kan?

Apa itu 'febrile seizure'?
Ianya adalah sawan/kancing gigi yang terjadi hanya apabila kanak-kanak demam panas, tanpa bukti-bukti jangkitan kuman pada otak atau lain-lain sebab yang boleh menyebabkan sawan terjadi. Kerap kali terjadi dalam kalangan kanak-kanak atau bayi yang berumur 3 bulan hingga 6 tahun.

Sebab-sebab perlu dimasukkan ke hospital:

  • Apabila sawan/kancing gigi itu pertama kali terjadi
  • Untuk memastikan sawan/kancing gigi itu bukan atas sebab-sebab lain seperti jangkitan kuman pada otak ('meningitis'/'encephalitis') atau ketumbuhan pada otak atau lain-lain sebab
  • Takut akan berlaku episod sawan/kancing gigi seterusnya yang berulang
  • Untuk mengenal pasti punca demam panas selain daripada 'meningitis' atau 'encephalitis'
  • Untuk mengurangkan kerisauan ibu bapa/penjaga
  • Tinggal jauh dari hospital atau klinik
Antara langkah awal yang boleh dilakukan jika anak mengalami sawan/kancing gigi:
  • Bertenang dan jangan cemas
  • Perhatikan berapa lama sawan/kancing gigi itu terjadi, bila dan sedang buat apa ketika ianya terjadi
  • Letakkan anak dalam posisi baring mengiring ke sebelah kiri
  • Lapkan muntah atau apa-apa cecair yang keluar dari mulut, jika ada
  • Jangan letakkan apa-apa objek seperti sudu atau kain di dalam mulut, jika gigi sudah terkancing
  • Jangan bagi apa-apa makanan, minuman, ubat atau cecair melalui mulut.
  • Sentiasa berada dekat dengannya sehingga sawan/kancing gigi beransur reda
  • Selepas sawan/kancing gigi reda, tenangkan anak anda
  • Jika sawan/kancing gigi masih tidak reda dan berlaku lebih dari 5-10minit, segera bawa ke klinik atau hospital yang berdekatan


'Febrile seizure' ini tidak bahaya dan hanya berlaku ketika demam panas. Tiada komplikasi yang merbahaya direkodkan setakat ini melainkan ada beberapa faktor seperti genetik keluarga yang mempunyai sawan/epilepsi. Jika terdapat faktor-faktor tersebut, kanak-kanak atau bayi mungkin akan kerap mengalami sawan.

Jadi, ibu-ibu dah boleh bertenang dan jangan cemas sangat ya bila anak kena sawan/kancing gigi. Ambil langkah-langkah awal seperti di atas, in shaa Allah, semua ok. Itu saja nak kongsikan hari ni. Semoga memberi manfaat kepada semua!

Saturday, October 27, 2018

Rasa Syukur: Jalan Pintas Menuju Bahagia


Assalamualaikum semua.

Alhamdulillah syukur. Masih diberi peluang untuk bangun pagi ini dan melihat dunia. Adakah hati kita ini selalu menyebut kalimah syukur secara automatik tanpa disuruh? Wallahualam. Jika belum, mulalah dengan mengungkap rasa syukur setiap kali bangun dari tidur sebagai tanda menyapa sang suria yang mula memanaskan dingin pagi.

Seolah-olah kita mahu memeluk dingin pagi dengan penuh rasa cinta dan bahagia. Alhamdulillah. Kadang-kadang aku juga manusia yang alpa dan sering lupa untuk melontarkan kalimah syukur ini di dalam hati dan juga mulut, tanda bersyukur kepadaNya.

Rasa betapa damai dan bahagia hidup yang di dalamnya tinggi rasa syukur. Perasaan menyenangkan zahir batin hingga dikatakan hidup dalam rasa syukur menjadi jalan pintas menuju bahagia. Lakukanlah setiap hari dan rasai sendiri bahagia itu. Kaedah ini menjadikan kita lebih pantas menuju kejayaan.

Lebih kerap kita bersyukur dan bersungguh-sungguh, lebih banyak pula Dia akan memberi apa yang kita mahukan. Untuk meraih rasa nikmat bahagia kita disarankan agar bersyukur dan mendoakan setiap perkara yang menggambarkan kebahagiaan serta kemakmuran yang akan terjadi dalam hidup dan persekitaran kita.

Bermula dengan diri kita, perasaan kita, di rumah kita dan orang yang berada di sekeliling kita. Perkara yang kita dengar, lihat dan rasa. Barang milik kita dan semua yang kita miliki. Ungkap rasa hormat dan terima kasih kita pada semua itu dengan sepenuh perasaan dalam hati. 

Tarik nafas panjang-panjang dan sedalam-dalamnya, terimalah dengan rasa puas, sampaikan terima kasih kepada Pencipta semua itu dari dalam hati. Sedarlah bahawa getaran gelombang rasa syukur dan rasa ikhlas adalah jalinan komunikasi terkuat antara kita dengan Pencipta untuk meraih kebahagiaan.

Rasa syukur yang tinggi melahirkan personaliti yang mengagumkan disebut kelembutan. Di mana jua kelembutan berada, ia akan menjadi perhiasan di tempat itu. Kelembutan tutur kata, senyum di bibir serta sapaan yang lembut dan hangat saat bersua dengan teman merupakan perhiasan yang selalu digunakan oleh orang yang mulia dan banyak bersyukur. 

Inilah bentuk kelembutan anugerah Allah yang diberi kepada insan terpilih terutama mereka yang selalu bersyukur. Titipkanlah rasa syukur dalam apa jua corak hidup yang kita lalui kerana semua itu sudah dipandu olehNya. Bersyukurlah selagi masih sempat dan masih berada di dunia ini. Alhamdulillah syukur. Semoga kita menjadi insan terpilih yang penuh dan tinggi dengan rasa syukur.

Friday, October 26, 2018

Waktu Yang Mustajab Untuk Berdoa

Assalamualaikum semua.

Di hari Jumaat yang mulia ini, marilah kita lihat dan teliti senarai waktu yang mustajab untuk berdoa.

Waktu Yang Mustajab Untuk Berdoa:
  • Waktu pagi sebelum terbit matahari, iaitu setelah selesai menunaikan solat Subuh.
  • Di antara waktu Zuhur dan Asar, juga di antara Asar dan Maghrib.
  • Setiap lepas solat fardhu.
  • Waktu di antara azan dan iqamat.
  • Ketika bangun tidur.
  • Semasa solat, iaitu sebelum salam, selepas membaca tasyahud akhir.
  • Ketika hendak masuk dan keluar masjid.
  • Pada masa takbir solat hari raya, masa di antara takbir semasa solat.
  • Waktu di antara dua khutbah, khutbah Jumaat dan khutbah hari raya.
  • Waktu menziarahi makam Rasulullah di Masjid Madinah.
  • Waktu melakukan urusan penting.
  • Waktu membaca doa qunut pada solat Subuh.
  • Pada masa mengadakan majlis dan upacara, yang bukan berbentuk maksiat.
  • Waktu ditimpa kesulitan, kecewa dan hati tidak tenteram.
  • Waktu bertemu kembali dengan sanak saudara atau sahabat yang lama terpisah.
  • Waktu hujan turun.
  • Waktu hendak memulakan solat dan setelah selesai solat.
  • Waktu selesai khatam 30 juz Al-Quran atau selepas selesai membaca mana-mana ayat Al-Quran.
  • Sewaktu sujud.


Jadi pilihlah waktu dan saat yang mustajab ini untuk berdoa dan memohon kepada Allah! Minta perkara besar dan utama kepada Allah Yang Maha Kaya dan Maha Pemurah. Contohnya:
  1. Mohon diampunkan segala dosa
  2. Mohon hidayah dan taufik
  3. Mohon keredhaan dariNya
  4. Mohon dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab
Atau apa-apa sahaja doa dan permintaan anda kerana Allah Maha Mendengar. Ibnu 'Ataillah berkata dalam kitab Hikamnya:

"Apabila Allah melepaskan lidahmu untuk meminta, ketahuilah sesungguhnya Allah hendak memberimu."

Thursday, October 25, 2018

Cara Mengawal Penyakit Tekanan Darah Tinggi ('Hypertension')

Assalamualaikum semua.

Menurut statistik dari 'Clinical Practice Guidelines' (CPG), Malaysia, mengenai 'hypertension', dicatatkan sebanyak 35.3% yg menghidap penyakit ini adalah dalam kalangan mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas (2015) dan 43.5% adalah dalam kalangan mereka yang berusia 30 tahun dan ke atas (2011). Jadi, adakah mungkin kita di antara salah seorang daripadanya?


Apa itu penyakit tekanan darah tinggi atau 'hypertension' ?
Ianya adalah peningkatan yg berterusan dalam bacaan 'systolic' (bacaan atas) tekanan darah anda sehingga mencecah 140mmHg atau lebih, dan/atau bacaan 'diastolic' (bacaan bawah) tekanan darah anda mencecah 90mmHg atau lebih, sekurang-kurangnya dengan purata 2 bacaan diambil, ketika duduk, dalam 2 waktu yang berbeza.

Bacaan 'systolic' (bacaan atas):
Tekanan dalam saluran arteri semasa jantung kita aktif mengepam darah ke seluruh badan.

Bacaan 'diastolic' (bacaan bawah):
Tekanan dalam saluran arteri semasa jantung dalam keadaan rehat.

'Hypertension' ini adalah antara penyakit yang mampu membunuh kita dalam diam. Seharusnya, kalau ada peluang untuk buat pemeriksaan kesihatan haruslah cepat-cepat rebut. Sebab ianya penting untuk kesihatan kita juga. Penyakit tekanan darah tinggi ini jika tidak terkawal mampu membawa kepada risiko mendapat penyakit jantung, 'stroke' atau sakit buah pinggang yang kronik.

Risiko mendapat penyakit tekanan darah tinggi atau 'hypertension' ('At Risk' condition):
Jika tekanan darah anda mencecah 130-139mmHg bagi bacaan 'systolic' dan 85-89mmHg bagi bacaan 'diastolic', sekurang-kurangnya dengan purata 2 bacaan diambil, ketika duduk, dalam 2 waktu yang berbeza, anda berisiko untuk mendapat penyakit tekanan darah tinggi. Ini tergolong dalam kategori ‘At Risk’.


Jika anda tergolong dalam kategori 'At Risk', anda masih belum terlambat untuk mencegah penyakit ini dengan cara mengubah gaya hidup anda atau 'lifestyle modification' ke arah yang lebih sihat. 'Lifestyle modification' tanpa perlu mula makan ubat, hanya sesuai jika anda adalah golongan 'At Risk' yang tidak berisiko tinggi untuk mendapat penyakit jantung/kardiovaskular. Jika yang berisiko tinggi, harus disertakan dengan pengambilan ubat-ubatan.

Faktor-faktor berisiko tinggi untuk mendapat penyakit jantung/kardiovaskular:
  1. Pesakit kencing manis ('Diabetes Mellitus')
  2. Pesakit kolestrol tinggi ('Dyslipidaemia')
  3. Merokok
  4. Pesakit buah pinggang yang kronik

Cara mengawal penyakit tekanan darah tinggi atau 'hypertension':
'Non-pharmacological Treatment' - 'Lifestyle Modification' 

  1. Berat badan - Kadar pengurangan berat badan sebanyak 1kg dapat membantu mengurangkan tekanan darah sebanyak 1mmHg (bacaan 'systolic'). 
  2. Pengambilan garam/Sodium - Pengambilan garam yang berlebihan dalam makanan boleh menyebabkan anda berisiko tinggi untuk mendapat penyakit jantung dan 'stroke'. Sebaik-baiknya hanya <2 g atau < 5 garam (lebih kurang 1 sudu teh) dalam sehari. 
  3. Pengambilan alkohol - Berhenti daripada mengambil minuman beralkohol atau pengambilan <2 minuman beralkohol dalam sehari. 
  4. Senaman berterusan - 'Moderate exercise': aerobic atau lain-lain, sekurang-kurangnya 150 minit seminggu.
  5. Pemakanan/Diet seimbang - Pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, produk tenusu di samping mengurangkan pengambilan makanan yang tinggi lemak dan berminyak, dapat mengurangkan tekanan darah tinggi.
  6. Berhenti merokok - Merokok adalah salah satu faktor tingginya risiko untuk mendapat penyakit jantung/kardiovaskular. Jadi, amat penting untuk seseorang itu berhenti merokok untuk mengelakkan terjejasnya kesihatan. Malahan, penyakit-penyakit lain juga berkait rapat dengan merokok, contohnya risiko mendapat penyakit kanser paru-paru. Ayuhlah berhenti merokok ya!
  7. 'Relaxation Therapy' - Pengurusan tekanan/'stress' yang betul seperti yoga atau lain-lain 'relaxation therapy' dapat membantu mengurangkan tekanan darah tinggi.
  8. Pengambilan Potassium - Meningkatkan pengambilan Potassium dapat mengurangkan tekanan darah tinggi seterusnya mengurangkan risiko mendapat penyakit 'stroke' sebanyak 24%. Potassium boleh didapati di dalam buah-buahan seperti pisang, sayur-sayuran dan kekacang.

'Pharmacological Treatment' - Pengambilan Ubat 'Anti-hypertensive'
Cara lain untuk mengawal penyakit 'hypertension' adalah tidak lain tidak bukan dengan pengambilan ubat 'anti-hypertensive'. Ubat-ubat ini perlu diberi mengikut kesesuaian kondisi seseorang pesakit itu. Jadi, lain orang lain ubatnya, lain dosnya dan lain jenisnya ya. Di sinilah pentingnya untuk menilai tahap risiko pesakit terhadap penyakit jantung/kardiovaskular. Jika risikonya tinggi untuk mendapat penyakit tersebut, maka doktor akan sarankan pesakit untuk mula makan ubat.

Ok, jadi macam mana semua? Dah sedia untuk mulakan gaya hidup sihat dan jauhkan 'sedentary lifestyle'? Perlahan-perlahan berubah ya semua. Ada banyak baiknya daripada buruknya kan kalau kita berubah kepada gaya hidup sihat. Bukan setakat boleh mengawal tekanan darah tinggi tapi penyakit lain juga.

Jadi, itu serba sedikit mengenai penyakit tekanan darah tinggi atau 'hypertension' dan cara-cara untuk mencegah atau mengawalnya ya! Kalau sesiapa yang dah memang ada penyakit tekanan darah tinggi tu dan dah memang kena makan ubat, WAJIB makan ubat ok! Jangan tinggal tau.  Ok, itu sahaja nak pesan dan kongsikan kali ini. Semoga entri ini bermanfaat untuk semua. 



Wednesday, October 17, 2018

Mereka Yang Berani Gagal


Assalamualaikum semua.

Apakah erti kegagalan bagi anda? Apakah yang akan anda buat jika anda mengalami kegagalan?

'Apakah yang akan anda buat jikalau anda tahu bahawa anda tidak mungkin gagal?'-Dr. Robert Schuller-
Kegagalan itu bukanlah bererti anda seorang yang gagal.
Ia hanyalah bererti anda masih belum berjaya lagi.

Kegagalan bukanlah bererti anda tidak mencapai apa-apa.
Ia sebenarnya bererti anda sudah mempelajari sesuatu.

Kegagalan juga tidaklah bermaksud anda bodoh kerana mencuba.
Ia bererti anda berani, berhati teguh, bersemangat waja dan berbanggalah dengan diri anda.

Kegagalan bukan bermakna anda tidak akan berjaya.
Ia bererti anda memerlukan sedikit lagi masa.

Kegagalan tidak bermakna anda kecundang.
Ia hanyalah bermakna anda berpeluang untuk bermula semula, mencuba sesuatu yang baru.

Kegagalan juga bukan bermakna Tuhan telah meninggalkan anda.
Ia hanyalah bermakna Dia mempunyai rancangan yang lebih baik untuk anda.

Jadi, benarlah bahawa kegagalan itu tidak pernah muktamad!

Suatu ketika dulu, aku juga pernah gagal, dan aku percaya begitu juga dengan semua orang. Kita semua pernah gagal, kerana mencuba itu mengambil risiko untuk gagal. Mereka yang berani melakukan apa yang tiada orang lain pernah lakukan adalah mereka yang berani gagal. Betapa jauhnya anda jatuh tidak menjadi hal, tetapi yang mustahaknya betapa tinggi anda bangkit kembali!

'Bagi setiap kisah kejayaan besar seperti Bill Gates di Amerika Syarikat,terdapat 5000 kegagalan.'-Memetik kata-kata juruanalisis di sebuah pusat MITI, Jepun-
Jadi, jangan takut untuk menghadapi kegagalan kerana di sebalik kegagalan itu semua, akan ada kejayaan yang akan muncul. Lakukanlah apa yang anda ingin lakukan serta jangan undur kembali. Jika anda membuat kesilapan, buatlah kesilapan yang hebat! Lain orang lain ujiannya. Ujian seseorang itu adalah perjuangan yang dia perjuangkan.

Ketabahan yang ditunjukkan saban hari. Bagaimana dia berdiri teguh dan menahan. Hentaman dan pukulan yang datang menghujani. Pengecut hanya mampu tersenyum bila tiada apa yang dia harus takutkan. Dalam kehidupan kita, bukan kejayaan atau kemenangan itu yang utama, tetapi perjuangan yang kita perjuangkan dalam menghadapi ujian dan kegagalan. Orang yang bila dia tersepit dan terpaksa, masih mampu lagi berdiri tegak dan menahan pukulan-pukulan takdir. Dialah orang yang akan menang di akhirnya, kerana dialah orang yang berani gagal.

Tahniah kepada mereka yang berani gagal!