Wednesday, October 17, 2018

Mereka Yang Berani Gagal


Assalamualaikum semua.

Apakah erti kegagalan bagi anda? Apakah yang akan anda buat jika anda mengalami kegagalan?

'Apakah yang akan anda buat jikalau anda tahu bahawa anda tidak mungkin gagal?'-Dr. Robert Schuller-
Kegagalan itu bukanlah bererti anda seorang yang gagal.
Ia hanyalah bererti anda masih belum berjaya lagi.

Kegagalan bukanlah bererti anda tidak mencapai apa-apa.
Ia sebenarnya bererti anda sudah mempelajari sesuatu.

Kegagalan juga tidaklah bermaksud anda bodoh kerana mencuba.
Ia bererti anda berani, berhati teguh, bersemangat waja dan berbanggalah dengan diri anda.

Kegagalan bukan bermakna anda tidak akan berjaya.
Ia bererti anda memerlukan sedikit lagi masa.

Kegagalan tidak bermakna anda kecundang.
Ia hanyalah bermakna anda berpeluang untuk bermula semula, mencuba sesuatu yang baru.

Kegagalan juga bukan bermakna Tuhan telah meninggalkan anda.
Ia hanyalah bermakna Dia mempunyai rancangan yang lebih baik untuk anda.

Jadi, benarlah bahawa kegagalan itu tidak pernah muktamad!

Suatu ketika dulu, aku juga pernah gagal, dan aku percaya begitu juga dengan semua orang. Kita semua pernah gagal, kerana mencuba itu mengambil risiko untuk gagal. Mereka yang berani melakukan apa yang tiada orang lain pernah lakukan adalah mereka yang berani gagal. Betapa jauhnya anda jatuh tidak menjadi hal, tetapi yang mustahaknya betapa tinggi anda bangkit kembali!

'Bagi setiap kisah kejayaan besar seperti Bill Gates di Amerika Syarikat,terdapat 5000 kegagalan.'-Memetik kata-kata juruanalisis di sebuah pusat MITI, Jepun-
Jadi, jangan takut untuk menghadapi kegagalan kerana di sebalik kegagalan itu semua, akan ada kejayaan yang akan muncul. Lakukanlah apa yang anda ingin lakukan serta jangan undur kembali. Jika anda membuat kesilapan, buatlah kesilapan yang hebat! Lain orang lain ujiannya. Ujian seseorang itu adalah perjuangan yang dia perjuangkan.

Ketabahan yang ditunjukkan saban hari. Bagaimana dia berdiri teguh dan menahan. Hentaman dan pukulan yang datang menghujani. Pengecut hanya mampu tersenyum bila tiada apa yang dia harus takutkan. Dalam kehidupan kita, bukan kejayaan atau kemenangan itu yang utama, tetapi perjuangan yang kita perjuangkan dalam menghadapi ujian dan kegagalan. Orang yang bila dia tersepit dan terpaksa, masih mampu lagi berdiri tegak dan menahan pukulan-pukulan takdir. Dialah orang yang akan menang di akhirnya, kerana dialah orang yang berani gagal.

Tahniah kepada mereka yang berani gagal!

Tuesday, October 16, 2018

Cabaran Pasangan Yang Baru Berkahwin

Assalamualaikum semua.

Hari ni nak tanya pendapat semua mengenai: Cabaran Pasangan Yang Baru Berkahwin


Antara cabaran pasangan yang baru berkahwin:

1. Ekonomi yang tidak stabil
Selalunya pasangan yang baru berkahwin ni akan hadapi masalah kewangan kerana ekonomi yang belum stabil. Jadi, kita mesti pandai menyesuaikan dan mempertingkat kemahiran kita dalam pengurusan kewangan. Jadi, nanti tak susahlah nak uruskan kewangan lepas kahwinkan. Si suami kena berusaha untuk menambah pendapatan keluarga dan paling penting berbelanja dengan bijak. Bukan suami je, isteri juga sangat digalakkan untuk menolong meringankan beban suami dengan menyumbang pendapatan. 

2.Kesukaran Menyesuaikan Diri
Jika baru berkahwin, kita mungkin ambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan pasangan masing-masing. Walaupun ada yang dah kenal bertahun-tahun, namun bila masuk alam perkahwinan mungkin tak sama dengan alam bercinta. Begitu juga dengan pasangan yang berkahwin atas persetujuan keluarga, tak pernah kenal antara satu sama lain. Dalam proses penyesuaian ni selalunya timbul tekanan dan konflik bila mana pasangan tak memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing. Contohnya, kurang memahami kehendak, keperluan dan citarasa pasangan. Jadi, kita perlulah banyak berbincang bersama pasangan masing-masing. Paling penting rasanya ialah sikap bertolak ansur dengan pasangan. Jangan lupa beri sokongan dan dorongan antara satu sama lain.

3.Mengutamakan Keluarga Sendiri
Bila dah berkahwin ni, jangan lupa kita dah ada dua keluarga besar. Keluarga belah suami dan keluarga belah isteri. Jadi, layanlah kedua-dua belah keluarga sama rata. Jadi, ikatan kekeluargaan dan hubungan silaturrahim pun dapat dieratkan lagi. Betul tak? Kenali keluarga pasangan kita dengan lebih dekat, selalu ziarah menziarahi dan sebagainya ya. Kadang-kadang, isteri atau suami rasa
tidak puas hati jika salah satunya mementingkan keluarga sendiri. 

Apa lagi ya cabaran-cabaran pasangan yang baru berkahwin? Ada yang nak kongsi pendapat atau pengalaman masing-masing? Harap semua yang dah berumah tangga tu sentiasa dalam lindungan Allah dan diberi kebahagiaan hingga ke Jannah. Semoga sentiasa tabah dan sabar dalam menghadapi cabaran dan dugaan berumah tangga. Amin.