Friday, December 28, 2018

Jodoh Yang Sudah Tertulis dan Menjadi RahsiaNya

Assalamualaikum semua.

Bercerita perihal jodoh. Jodoh itu sebenarnya sudah tertulis untuk kita di atas sana. Semuanya di bawah aturanNya. Jika berdoa mendapat yang baik jodohnya dan persiap diri kita untuk menjadi yang terbaik, maka baiklah ia. Jika tidak, maka sebaliknya pula yang akan kita ketemu. Sering kali manusia ingin memilih yang terbaik untuk dirinya dalam setiap apa jua keadaan dan benda. Lumrah menjadi seorang yang bernama manusia ini, sentiasa inginkan yang terbaik untuk dirinya. Namun, kita sering lupa bahawa Yang Maha Berkuasa sentiasa sudah menjanjikan sesuatu yang sangat cantik dan tersusun untuk kita. 

Lain orang lain rezeki. Ramai kita lihat anak remaja kahwin di usia muda. Alhamdulillah, jodoh mereka sudah sampai dan telah ditentukan. Itu juga rezeki kerana jodoh mereka sampai awal. Moga yang baik-baik sahaja untuk mereka. Doakan yang terbaik. Jika itu jodoh mereka, maka mereka akan bahagia. Ramai juga yang masih berseorangan, namun meriah dan bahagia ditemani ahli keluarga di sisi. Alhamdulillah juga. Buat mereka, masih banyak dan diberi kesempatan waktu untuk meluangkan masa bersama ahli keluarga sebelum mendirikan rumah tangga. Itu juga rezeki yang tidak ternilai.

Jodoh itu rahsia Tuhan. Seberapa mahu dan jalan cara kita atur untuk bersama seseorang tetapi jika dia bukan untuk kita, maka sependek itu sahajalah waktu kita mengenali dan bersamanya. Namun berpisah baik seribu tahun walau ribut melanda, andai itu jodoh kita dan ditakdirkan bersama oleh Tuhan Yang Esa, maka kita akan bersamanya satu hari kelak. Doa sahaja yang baik-baik, moga akan datang yang baik-baik untuk kita.

Jangan digusar dengan pertanyaan mengapa seseorang itu lambat mendapat jodoh atau lambat mendirikan rumah tangga. Kerana semua itu sudah ada aturanNya. Yang harus kita lakukan adalah berdoa sahaja yang baik untuknya. Moga-moga dia diberi jodoh yang terbaik untuk dirinya  yang telah juga dijanjikan dan teratur cantik oleh Tuhan. Kadang-kadang banyak perihal jodoh yang kita tidak ketahui.

Tiba-tiba, jiran sebelah rumah boleh jadi jodoh kita. Kawan baik boleh jadi jodoh kita. Orang jauh juga boleh jadi jodoh kita, yang kita tidak  tahu pun mana asal usulnya dan dengan segenap cuma ada di depan mata. Tak mustahil itu semua berlaku kerana jodoh itu rahsia Tuhan. Semuanya telah diaturkan untuk kita. Tak perlu risau itu semua kerana yakinlah semua itu telah tertulis di atas sana oleh Yang Maha Esa. Moga selepas ini kita bersedia untuk menerima siapa jua jodoh yang telah ditetapkan untuk kita di samping sentiasa mempersiap diri menjadi yang terbaik untuk menerima seseorang yang terbaik juga buat kita. In shaa Allah. Doa yang baik-baik ya semua!

Thursday, December 27, 2018

9 Teknik Hasilkan Gambar Cantik Dengan Smartphone


Assalamualaikum semua.

Kadang-kadang nak menghasilkan gambar yang cantik tak semestinya kena ada kamera yang mahal seperti DSLR dan lain-lain. Kalau ada smartphone pun dah cukup. Asalkan tahu beberapa teknik untuk ambil gambar yang cantik dengan smartphone. Kali ini nak kongsi beberapa tips untuk menghasilkan gambar yang cantik dengan hanya menggunakan smartphone.

Teknik Menghasilkan Gambar Cantik Dengan Smartphone

1. Pencahayaan atau lighting yang cukup
Jika anda mengambil gambar dalam lingkungan cahaya yang rendah, smartphone anda pasti tahu untuk menyesuaikan diri untuk mengubah ke arah exposure yang lebih rendah untuk membiarkan cahaya masuk lebih banyak dan ini akan menyebabkan gambar anda menjadi noise (gambar mempunyai binitik-bintik halus jika anda lihat degan jarak dekat). Jadi lebih baik anda pergi ke ruang lebih terbuka yang mempunyai lebih banyak cahaya atau dengan kata lain mendapatkan lighting yang cukup. Contohnya, ambil gambar berdekatan dengan lampu atau ambil gambar di luar rumah. Pencahayaan semula jadi adalah lebih baik daripada mengaktifkan flash kamera anda.


2. Pegang smartphone dengan lebih stabil 
Anda harus memastikan bahawa anda memegang smartphone dengan baik saat mengambil gambar untuk mendapatkan gambar yang jelas dan sharp. Cuba untuk tidak bergerak sama sekali saat mengambil gambar. Jika berlaku pergerakan ketika mengambil gambar akan menghasilkan gambar yang kabur, terutama jika smartphone anda tidak memiliki kemampuan menstabilkan gambar optik atau digital. Anda juga harus bersikap lembut ketika menekan tombol shutter.  


3. Elakkan penggunaan zoom-in
Zoom-in ketika megambil gambar haruslah dielakkan kerana pembesar imej digital ini akan mengurangkan kualiti gambar. Lebih banyak zoom-in yang anda lakukan lebih teruk kualiti gambar yang terhasil. Jika anda mahu gambar yang baik anda boleh ‘crop’ gambar anda selepas mengambilnya memandangkan kesemua smartphone pasti hadir dengan beberapa kebolehan untuk mengedit gambar yang diambil. Selain itu, anda juga boleh mengambil gambar dari jarak yang lebih dekat.


4. Bersihkan lensa kamera smartphone anda 
Lensa kamera smartphone sangat mudah kotor. Jadi anda harus meluangkan masa untuk membersihkannya dari waktu ke waktu. Gilaplah lensa kamera smartphone anda dengan menggunakan kain atau tisu yang lembut agar ianya tidak calar. 


5. Gunakan teknik garisan grid
Tips yang sangat mudah adalah dengan mengaktifkan garisan grid pada aplikasi kamera smartphone anda. Biasanya, dengan mmenggunakan teknik ini, gambar yang terhasil akan lebih cantik dan seimbang. Untuk aktifkan gridlines, hanya perlu ke setting kamera anda dan aktifkan.


6. Pelajari cara menggunakan mode kamera smartphone
Kebanyakan smartphone datang dengan aplikasi kamera pelbagai dan mode tertentu. Beberapa di antaranya digunakan untuk menghapus objek yang bergerak dalam bingkai atau menambahkan kesan mutunya. Antara mode yang terdapat di smartphone ialah mengambil gambar dengan subjek yang bergerak cepat, panorama atau untuk mengambil gambar di malam hari (low light). Cuba pelajari bagaimana cara menggunakan mode-mode tersebut dan anda mungkin boleh menggunakannya di waktu yang sesuai.



7. Install aplikasi kamera alternatif yang pelbagai
Sistem operasi Android, iOS, dan Windows Phone menawarkan sejumlah aplikasi alternatif untuk kamera smartphone anda. Kamera FV-5 untuk Android dan KitKam untuk iOS adalah 2 contoh bagus dari aplikasi pengganti kamera yang dibuat dengan baik. Ini boleh membantu jika smartphone yang anda gunakan kurang baik dalam pengaturan kamera canggih dan manualnya.


8. Ambil beberapa gambar yang sama
Pernahkah anda mengambil satu gambar dan kemudian menyedari selepas itu bahawa ada seseorang dalam gambar yang matanya berkelip, kurang jelas, atau tidak sesuai dengan keadaan? Jadi sebaiknya anda disarankan tidak mengambil hanya satu gambar tetapi mengambil beberapa gambar yang sama untuk mendapatkan gambar yang baik dan cantik. Setelah itu anda bolehlah membuat keputusan untuk delete gambar yang tidak diperlukan.


9. Bermain dengan teknik refleksi
Ada sesuatu yang sangat menarik pada gambar yang mempunyai refleksi. Contohnya gambar refleksi langit pada permukaan air. Jadi cari cara untuk menghasilkan refleksi pada setiap gambar yang diambil. Cuba bermain dengan teknik refleksi maka anda akan dapat menghasilkan gambar yang cantik.


Saturday, December 22, 2018

Casa Del Rio, Melaka

Assalamualaikum semua.

Kalau dalam Malaysia ni, paling best pergi tempat-tempat bersejarah, salah satunya bercuti ke Melaka. Setiap orang Malaysia yang suka travel tak sah kalau korang tak bercuti di Melaka kan! Yeah Melaka is our pride as Malaysian sebab di sinilah suatu ketika dulu empayar Melaka berkembang di mana kita dipandang tinggi oleh negara-negara luar. Melaka adalah bandaraya bersejarah yang menjadi tumpuan dari pelancong seluruh dunia. Ya, seluruh dunia tu. Because of its historical heritage, pengalaman nak bercuti di Melaka adalah pengalaman yang tak dapat kita lupakan. Kalau bercuti di Melaka, jangan lupa book dan menginap di Casa Del Rio Hotel. Casa Del Rio adalah antara hotel yang menarik dan mewah yang korang kena stay di Melaka.







Hotel ni dekat dengan Baba & Nyonya Heritage untuk korang mengenali tradisi dan adat Baba & Nyonya di sana dan jangan lupa cuba makanan diorang yang pelbagai. Banyak kedai untuk shopping yang dekat jadi korang jangan lupa bawa banyak duit ya untuk beli souvenir dan juga untuk jalan-jalan cari makan. Dekat Melaka ni dah lah memang banyak kedai-kedai makan best! Tapi kalau malas nak berjalan, korang boleh relax dekat swimming pool hotel ni lama-lama tak kisahlah berapa lama nak berendam. Hihi. Paling best, hotel ni juga ada spa treatment. Yalah kan mana yang sibuk bekerja sampai mental dan fizikal penat sampai datang banyak penyakit tu, sesuai sangatlah jadikan tempat ni untuk rejuvenate badan korang.

Restoran juga banyak untuk korang penuhkan nafsu makan korang dengan pelbagai jenis menu darilah pedas hingga ke manis. Of course asam pedas pun ada. Mana yang nak buat function untuk company korang pun tak ada hal sebab Casa Del Rio Hotel ni ada tempat yang sesuai dan korang bolehlah beraktiviti dengan company korang sambil bercuti dan berjalan di sekeliling bandaraya Melaka. Pendek kata, kemudahan-kemudahan yang disediakan dekat hotel ni memang cukuplah. Kalau rasa berminat nak bercuti di Casa Del Rio Hotel di Melaka ni korang hanya perlu find Casa Del Rio Melaka online on Traveloka dan book date yang korang nak pergi tu bila. Sebelum pergi pun nak call lagilah bagus kalau korang nak find out apa lagi yang diorang boleh bagi dekat korang. Selalu cari dan survey penginapan dan hotel ni guna Traveloka. Korang pun boleh try survey dekat Traveloka tu ok.


  



Tempat ni memang sibuk sikit dan ramai pelancong jadi  korang disarankan untuk book awal-awal lah ya kalau nak bercuti tu sebab aku tak berani janji kalau korang book last minit. Sebab tempat di sekeliling hotel ni adalah tempat tumpuan pelancong. Dia tak ada season, dia all season. Faham ke? Haha. Jadi bolehlah ajak satu family, jom pergi bercuti di Melaka especially penginapan di Casa Del Rio ni. Memang best sangat kalau dapat pengalaman bercuti sambil mengimbau asal-usul sejarah Malaysia di Melaka ni kan.

Servis hotel ni memang terbaik dan diakui oleh orang Melaka sendiri, mat saleh dan juga orang-orang KL yang pernah pergi dengan prestasi diorang yang the best. Nak check-in dengan check-out pun tak ambil banyak masa boleh dikatakan ekspress jugalah, kalah bas ekspress Kelantan-KL. Haha. Tapi serius aku cakap. Ada juga servis tour-guide untuk korang yang tak biasa berjalan di Melaka, lepas tu kalau nak buat wedding pun tiada masalah sebab tempat memang ada cuma kena discuss la sikit dengan orang hotel. Environment dia pun ok sangat dan kalau nak bawa budak-budak pun memang sesuai sangat sebab swimming pool untuk budak-budak memang ada.




Sambil tu malam korang boleh bawa diorang pergi tengok lampu di Jonker Walk. Korang boleh juga naik Melaka River Cruise dan enjoy the moment, untuk dijadikan kenangan yang nanti akan terpahat di sanubari sampai bila-bila. Hihi Balik lepas tu korang confirm cerita dekat kawan-kawan korang sampai diorang pun teringin nak pergi juga kan! Haha. Pasti takkan menyesal. Bukan selalu nak spend time dengan orang yang tersayang kan jadi jomlah bercuti di Casa Del Rio ni sambil mengeratkan hubungan kekeluargaan dan kasih sayang. Hihi. Jadi semua book cepat-cepat tau nanti korang terlepas pula untuk menginap di Casa Del Rio ni.

Demam Denggi Membunuh | Langkah Pencegahan Adalah Tindakan Terbaik

Demam Denggi Membunuh | Langkah Pencegahan Adalah Tindakan Terbaik


Assalamualaikum semua.

Apa itu Demam Denggi?
  • Demam Denggi adalah disebabkan jangkitan virus Denggi yang disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes
  • Tiada rawatan spesifik bagi demam Denggi, pengesanan tanda-tanda jangkitan dan mendapatkan rawatan awal boleh menyelamatkan nyawa
  • Pencegahan dan kawalan Denggi adalah tindakan terbaik menanganinya

Tanda-tanda Demam Denggi:
  1. Deman kuat secara mengejut dan berterusan
  2. Ruam merah pada kulit
  3. Sakit teruk pada tulang, otot, sendi, biji mata dan kepala
  4. Hilang selera makan
  5. Muntah-muntah
  6. Sakit perut
  7. Pendarahan pada badan, hidung dan mulut

Tabiat Nyamuk Aedes:
  • Aedes dapat dikenali dengan berbelang hitam putih pada kakinya
  • Aedes aktif menggigit pada awal pagi (5.00-7.00 pagi) dan lewat petang (5.00-7.00 petang)
  • Kitaran hidup Aedes daripada telur menjadi nyamuk dewasa hanya mengambil masa selama 5 hari hingga 7 hari
  • Aedes membiak di dalam air jernih yang bertakung sama ada di dalam atau di luar rumah

Pencegahan dan Kawalan Demam Denggi:

1. Mencegah Pembiakan Nyamuk Aedes
  • Tutup semua bekas menyimpan air untuk mencegah nyamuk bertelur
  • Salin air dan basuh sehingga bersih pasu bunga, alas pasu, kolah mandi dan sebagainya seminggu sekali
  • Bersihkan saluran air hujan (saluran bumbung) daripada air bertakung
  • Pastikan tempat bertakung air seperti tayar, kaca atau tin kosong dibuang untuk mengelak menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes
  • Tanam semula benda atau bekas yang boleh menakung air seperti botol kosong, tin kosong, bekas plastik dan sebagainya
  • Masukkan bahan pembunuh jentik-jentik TEMEPHOS seperti ABATE, AZAI, CREEK dan LAVETTE mengikut sukatan yang ditetapkan. (10gm untuk 20 gelen air) tiga bulan sekali
2.Menghapuskan Nyamuk Dewasa
  • Gunakan racun serangga (aerosol) di rumah
  • Pasang jejaring nyamuk pada tingkap
  • Semburan kabus (fogging) akan dilakukan jika berlaku kes denggi

Komitmen Komuniti dalam Mencegah dan Mengawal Demam Denggi:
  • Cari dan Musnah - Aktiviti mencari dan menghapuskan bekas yang berpotensi menjadi punca pembiakan nyamuk Aedes di dalam dan di luar rumah sekurang-kurangnya dilakukan seminggu sekali
  • Gotong-royong - Aktiviti pembersihan persekitaran secara bersama-sama melibatkan penyertaan komuniti bertujuan untuk mencari dan memusnahkan tempat-tempat berpotensi untuk pembiakan nyamuk Aedes sama ada di dalam atau di luar rumah
  • Melindungi Diri - Elakkan daripada gigitan nyamuk dengan:
    1. Memakai baju lengan panjang dan seluar panjang yang berwarna cerah
    2. Guna penghalau nyamuk, aerosol atau mosquito repellent
    3. Pasang kelambu ketika tidur
    4. Pasang jejaring pada tingkap rumah

Hapus Aedes, Jauhi Denggi!


Statistik Kes Dan Kematian Demam Denggi di Malaysia

Demam Denggi ini boleh membawa kepada kematian. Segera dapatkan rawatan awal jika terdapat tanda-tanda Demam Denggi seperti di atas. Tiada spesifik rawatan untuk Demam Denggi ini namun pengesanan dan rawatan awal di hospital atau klinik dapat mengelakkan kematian. Semoga kita semua terhindar daripada Demam Denggi.

Friday, December 21, 2018

Minta Sesaat Lagi - Fynn Jamal


Minta sesaat lagi,
kerana seluruh nafas
selama hidup
telah tertumpah dan terbazir.

Minta sesaat lagi,
supaya sempat
aku redhakan
satu persatu getir.

Minta sesaat lagi,
untuk aku maknakan
sia-sia nyawaku
dahulu.

Minta sesaat lagi,
kau perlu tahu
milik siapa sebenarnya
hati aku.

Minta Sesaat Lagi - Fynn Jamal

Thursday, December 20, 2018

Makanan Sihat | Makanan yang Tidak Bergoreng dan Tanpa Santan

Assalamualaikum semua.

Hampir setiap hari rasanya kita makan makanan yang mengandungi lemak seperti makanan bergoreng dan hidangan yang berasaskan santan. Makanan yang sering diambil oleh rakyat Malaysia ketika bersarapan adalah seperti nasi lemak, roti canai dan nasi goreng atau mi goreng. Mi goreng dan nasi goreng juga termasuk dalam lima makanan paling kerap dimakan semasa makan tengah hari dan makan malam (Kajian Barometer Makanan Malaysia, 2014).

Lemak boleh didapati samada dalam bentuk yang boleh dilihat atau tidak dapat dilihat, contohnya minyak yang kita tambah ketika menyediakan makanan dan semasa proses memasak; manakala lemak yang tidak dapat dilihat, ialah lemak yang diguna sebagai ramuan di dalam hidangan. Contoh lain lemak yang boleh dilihat di dalam makanan ialah santan, mentega dan marjerin.

Contoh makanan yang tinggi kandungan lemak ialah makanan bergoreng, makanan berasaskan santan seperti kari, konfeksi berinti krim, keju tinggi lemak dan sos salad. Pengambilan makanan berlemak dan minyak secara berlebihan berserta dengan aktiviti fizikal yang tidak aktif boleh menyebabkan obesiti. Pengambilan lemak secara berlebihan setiap hari juga boleh meningkatkan paras kolesterol dan seterusnya meningkatkan risiko penyakit jantung.

Cara untuk meningkatkan pengambilan makanan tidak bergoreng:
  • Gunakan cara memasak yang lebih sihat seperti memanggang, membakar dan mengukus.
  • Pilih hidangan yang lebih sihat, seperti ikan kukus, bakar dan panggang.
  • Hadkan makanan bergoreng (contohnya ikan goreng dan kuih bergoreng seperti karipap dan pisang goreng) kepada tidak lebih daripada sekali sehari.
  • Nikmati hidangan yang dimasak di rumah yang mana anda boleh mengawal penggunaan minyak dan boleh menyediakan hidangan yang lebih sihat dan berkhasiat di rumah.
Cara untuk meningkatkan pengambilan makanan tanpa santan:
  • Pilih cara memasak yang lebih sihat seperti sup dan tom yam.
  • Hadkan pengambilan makanan yang tinggi dengan santan seperti nasi lemak, nasi dagang, masak lemak, kari, rendang, bubur kacang, kuih talam dan kuih seri muka.
  • Tambah rempah ratus dan herba ke dalam hidangan yang kurang santan untuk menambah rasa dan perisa.
  • Gantikan kesemua atau separuh santan dengan susu rendah lemak, susu skim, susu sejat dan yogurt.
  • Gantikan santan pekat dengan santan cair.

Berikut adalah sedikit panduan bagaimana menyediakan makanan yang sihat di rumah dan panduan bagaimana memilih hidangan lebih sihat apabila makan di luar. Semoga info ini bermanfaat buat semua. Lepas ni tahan sikitlah nafsu makan dan mari menuju ke arah makanan sihat. Pesanan untuk diri sendiri juga.





Monday, December 17, 2018

Saranan Umum Senaman Bagi Pesakit Diabetes

Assalamualaikum semua.

Melihat kepada tabiat pemakanan dan amalan kehidupan seharian atau gaya hidup masyarakat di Malaysia ini, boleh dikatakan ramai di antara kita ini merupakan penghidap penyakit Diabetes. Antara faktor risiko yang menyebabkan kita mudah untuk mendapat penyakit Diabetes ini ialah keturunan, pemakanan atau diet serta amalan gaya hidup kita. Mencegah lebih baik dari merawat. Namun tidak semua perkara kita boleh elak. Bagi seseorang yang telah menghidap penyakit Diabetes, anda disarankan supaya mengamalkan senaman-senaman seperti di bawah bagi membantu mengekalkan kadar gula yang optimum.

Saranan Umum Senaman Bagi Pesakit Diabetes:
  1. Lakukan aktiviti fizikal 5 kali seminggu dan pastikan tempoh aktiviti tanpa senaman tidak melebihi 2 hari berturut-turut.
  2. Lakukan senaman rintangan untuk kekuatan dan daya tahan otot 2-3 kali seminggu (tidak dilakukan secara 2 hari berturut-turut).
  3. Senaman aerobik (berjalan laju, jogging, berbasikal dan lain-lain) dan senaman rintangan (resistance exercise) sangat bermanfaat untuk pesakit Diabetes.
  4. Individu yang berlebihan berat badan atau 'obese' disarankan secara beransur-ansur untuk meningkatkan tempoh melakukan aktiviti fizikal sehingga 60-90 minit setiap hari bagi pengurangan berat badan.
  5. Lakukan aktiviti fizikal yang berintensiti sederhana sekurang-kurangnya 150 minit seminggu atau aktiviti fizikal yang berintensiti tinggi selama 90 minit seminggu.
Saranan Umum Senaman Bagi Pesakit Diabetes

Dengan melakukan senaman-senaman seperti yang disarankan di atas ini, pesakit Diabetes juga akan sentiasa lebih bersemangat dan akan berasa lebih cergas dalam menjalani kehidupan seharian, di samping dapat membantu mereka mengurangkan berat badan yang berlebihan atau 'obese'. Lazimnya, pesakit Diabetes ini mempunyai berat badan yang berlebihan atau 'obese' dan dinasihatkan supaya mengurangkan berat badan beransur-ansur bagi membantu mencapai kadar gula yang optimum.

Setiap kali follow-up, doktor akan memantau dan memberi nasihat atau panduan mengenai berat badan yang perlu dicapai oleh setiap pesakit Diabetes mengikut tempoh waktu yang ditetapkan. Untuk memastikan tahap kesihatan meningkat, pesakit perlu berusaha untuk mengurangkan berat badan dengan melakukan senaman-senaman tersebut. Aktiviti seperti zumba atau senam aerobik juga dapat membantu untuk mengurangkan berat badan.

Aku Manusia - Winter Words & Warm Memories


Dalam jasad yang hina,
ada hati yang berdosa,
andai kamu anggap yang baik sahaja,
kamu silap semahunya,

Aku ialah manusia,

Dalam dakapan berganda,
selalunya tertumpah warna,
warna hitam ketawa,
juga lesu binasa,

Aku itu manusia,
sungguh terbelah tak berdaya,
masih tak sedar malam hitam bercahaya,
seakan dosa itu bergelora,
tak mungkin menanggung bahagia,

Aku masih manusia,

Membunuh palsu segala,
terhenti kaku sebuah bicara,
sentiasa bukan si mulia,
namun ingin pahala bertakhta,

Aku sentiasa manusia,

Nafsu porak peranda,
hati juga gundah gulana,
jasad semakin tua,
hidup ini semakin lama,

Aku tetap manusia,

Akan kerana satu dosa,
jangan dihina,
bila berlabuh sebuah senja,
tanganku mula di dada,

Kerna akulah manusia,
yang terkapai mahu merasa,
Sebuah kasih Tuhan-NYA.

-Aku Manusia | Winter Words & Warm Memories

Sunday, December 16, 2018

Postur Badan dan Pergerakan yang Betul Ketika Berjalan

Assalamualaikum semua.

Bagaimanakah pergerakan dan postur badan kita semasa berjalan? Jom tengok tips berjalan yang betul.

 Postur Badan dan Pergerakan yang Betul Ketika Berjalan | Tips Berjalan dengan Betul


Tegakkan postur badan
Pastikan bahagian tumit mencecah tanah sebelum bahagian tapak kaki yang lain. Mulakan dengan langkah yang pendek.

Hayunkan tangan
Membantu membakar lebih banyak kalori dan menguatkan otot di bahagian atas badan.

Luruskan bahagian belakang badan
Pastikan badan berada dalam postur yang baik. Luruskan badan dan pandang ke hadapan.

Kawal pernafasan
Pastikan pernafasan sentiasa teratur. Sekiranya semakin tercungap-cungap, kurangkan kelajuan. Berhenti sekiranya tidak mampu.

Variasikan tempo berjalan
Tetapkan sasaran pada tempoh tertentu untuk meningkatkan dan menurunkan kelajuan.

Sumber: www.infosihat.gov.my

7 Cara Mudah Mencipta "Keseronokan" Dalam Berjalan

Assalamualaikum semua.

Pada 3 November 2018 yang lalu telah diadakan pelancaran Kempen WALK di Oval Lawn , Setia City Convention Centre, Setia Alam anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia. Kempen ini diadakan bertujuan selaras dengan saranan kita sebagai rakyat Malaysia agar kekal sihat dan aktif. Aktiviti fizikal tidak hanya tertumpu kepada senaman sahaja malah segala aktiviti seharian yang melibatkan pergerakan tubuh badan juga dikategorikan sebagai aktiviti fizikal. Berjalan juga merupakan salah satu aktiviti fizikal yang sihat untuk dilakukan ke arah gaya hidup aktif. Jadi kalau rasa tak mampu untuk membuat senaman berat, berjalan juga sudah cukup asalkan kita bergerak.


7 Cara Mudah Mencipta "Keseronokan" Dalam Berjalan:

1.Dengar Muzik
Ia membantu anda berjalan lebih lama dan pantas.

2.Beri Ganjaran
Tetapkan ganjaran seperti makan malam bersama rakan atau beli baju baru bagi setiap matlamat yang tercapai.

3.Jaga Kebersihan Persekitaran
Berjalan sambil mengutip sampah boleh membantu persekitaran kekal bersih.

4.Sediakan Catatan
Tulis atau catat rekod berjalan untuk simpanan sendiri supaya lebih bersemangat dan seronok apabila melihat berapa jauh anda sudah berjalan.

5.Nikmati Alam Semulajadi
Belajar untuk menjadikan berjalan sebagai waktu untuk anda bertafakur sambil menikmati alam semulajadi.

6.Dengar Podcast
Mendengar rakaman audio atau video secara online seperti ceramah atau berita untuk memenuhi masa berjalan.

7.Berjalan Bersama Rakan
Ia merupakan masa yang terbaik untuk berjumpa dan bertanya khabar sesama rakan sambil berjalan-jalan.

Semoga lepas ini kita lebih bersemangat dan rasa seronok untuk berjalan atau bergerak sambil buat 7 benda di atas. Siapa ada tips lain yang boleh dikongsikan bagitahulah ya di ruangan comment. Semoga bermanfaat!

Sumber: Centers for Disease Control and Prevention (CDC)

Saturday, December 15, 2018

Faedah Melakukan Aktiviti Fizikal Secara Konsisten | Jom Aktif dan Sihat!

Assalamualaikum semua.

Sebenarnya memang banyak sangat faedah yang akan kita dapat jika kita melakukan senaman atau apa-apa sahaja aktiviti fizikal secara konsisten. Antara faedah tersebut ialah badan kita akan sentiasa berasa cergas dan aktif, kesihatan kita lebih terjamin serta kita juga akan terhindar dari segala jenis penyakit berbahaya seperti Diabetes, hypertension, stroke dan sebagainya. Apa lagi. Marilah mengorak langkah. Jom Aktif dan Sihat!

National Strategic Plan for Active Living 2017-2025 (NASPAL)

Plan Strategik Kebangsaan Hidup Aktif 2017-2025
-National Strategic Plan for Active Living 2017-2025 (NASPAL)-

Visi:
Ke arah Malaysia yang aktif dan sihat

Misi:
Meningkatkan aktiviti fizikal dalam kalangan rakyat Malaysia

Sasaran:
Mengurangkan sebanyak 10% prevalen ketidakaktifan fizikal / tidak aktif secara fizikal dalam kalangan masyarakat menjelang 2025

Faedah Melakukan Aktiviti Fizikal Secara Konsisten:
1. Mengurangkan risiko kematian awal.
2. Mengurangkan risiko penyakit jantung koronari.
3. Mengurangkan risiko stroke.
4. Mengurangkan risiko hypertension.
5. Mengurangkan risiko kolestrol tinggi.
6. Mengurangkan risiko diabetes.
7. Mengurangkan risiko metabolic syndrome (gabungan penyakit hypertension, diabetes dan kolestrol tinggi)
8. Mengurangkan risiko kanser kolon.
9. Mengurangkan risiko berat badan berlebihan atau 'obese'.
10. Menurunkan berat badan.
11. Meningkatkan kecergasan kardiorespiratori dan otot.
12. Mengurangkan risiko jatuh terutama warga emas.
13. Mengurangkan kemurungan (depression).
14. Meningkatkan kadar kesihatan optimum bagi warga emas.
15. Mengurangkan risiko 'abdominal obesity'.
16. Mengekalkan berat badan ideal.
17. Meningkatkan fungsi kognitif dan daya ingatan bagi warga emas.
18. Mengurangkan risiko 'hip fracture'.
19. Mengurangkan risiko kanser paru-paru.
20. Mengurangkan risiko kanser endometrial.
21. Meningkatkan ketumpatan tulang di samping mengurangkan risiko osteoporosis.
22. Meningkatkan kualiti tidur.



Contoh aktiviti senaman aerobik:
  • Berjalan pantas
  • Berbasikal
  • Menari
  • Berenang
  • Berlari
  • Bermain bola sepak, takraw, badminton dan lain-lain
Contoh aktiviti senaman anaerobik:
  • Semua jenis pecutan (berlari, berbasikal)
  • Angkat berat
  • Lompat Tali
  • Mendaki bukit (hiking)
  • Latihan interval, isometrik atau senaman lain pada tahap intensiti tinggi dalam masa singkat

Senafas Hidup - Winter Words & Warm Memories

Senafas Hidup | Winter Words & Warm Memories

Kisah kelmarin,
Masih menjadi tanda tanya,
Dan hari ini,
Cerita itu tetap sama,
Masih belum menemukan,
Setiap jawapannya.

Lalu dia,
Matikan semua perasaan,
Agar jiwanya kembali,
Jalani kehidupan.

Senafas Hidup - Winter Words & Warm Memories

Friday, December 7, 2018

Terima Kasih - Winter Words & Warm Memories


Di sepanjang perjalanan ini,
kita akan bertemu,
sama orang orang santun,
yang bisa menerima kita,
dengan apa adanya.

Tidak mencarik,
masa masa lalu kita,
bahkan menarik kita,
bersama menuju lorong cahaya.

Tidak menolak kita,
saat ketemukan sisi kurangnya kita,
malah gigih sekali,
menampal luka lukanya.

Terima kasih teman,
karena mencintai aku,
meski sudah tahu apa lebih,
dan juga kurang.

Jangan lepas tangan ini,
sehingga kaki kita menjejak,
ke syurga Illahi.

"Terima kasih,
Pada manusia manusia,
Yang terus mencintai,
Diri ini."
 Terima Kasih - Winter Words & Warm Memories